Penduduk berjalan mengharungi banjir di Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak. FOTO Ghazali Kori
Penduduk berjalan mengharungi banjir di Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


JUMLAH mangsa banjir di Terengganu menunjukkan sedikit penurunan apabila seramai 1,213 orang daripada 299 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pada 3 petang berbanding 1,479 orang pada 9 pagi hari ini.

Menurut Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Terengganu, semua mangsa ditempatkan di 11 PPS di Marang, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Dungun dan Setiu berbanding 12 PPS sebelum ini.

Semua daerah menunjukkan penurunan kecuali Setiu yang kekal dengan seramai 32 orang daripada tujuh keluarga di satu PPS.

Kuala Nerus masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 819 orang daripada 186 keluarga di empat PPS berbanding seramai 824 orang daripada 188 keluarga.

Jumlah mangsa di Marang juga menurun kepada seramai 309 orang daripada 93 keluarga di empat PPS berbanding seramai 497 orang dengan 142 mangsa di empat PPS.

Selain itu, jumlah mangsa di Dungun menurun kepada 11 orang daripada empat keluarga di satu PPS berbanding seramai 45 orang daripada 11 keluarga di satu PPS.

Di Kuala Terengganu, seramai 42 orang daripada sembilan keluarga masih ditempatkan di satu PPS.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 3:53 PM