DR NOOR HISHAM ABDULLAH
DR NOOR HISHAM ABDULLAH
Raja Noraina Raja Rahim dan Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Lima lagi kluster baharu Covid-19 dikenal pasti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster berkenaan dilaporkan di Sabah, Selangor, Johor dan Terengganu.

Menurutnya, Kluster D'Bajaru dikenal pasti di Lahad Datu pada 11 November lalu hasil saringan komuniti di dua kampung berisiko tinggi yang kini sudah merekodkan 90 kes positif.

"Kluster Gangsa dilaporkan di Kuala Langat. Kes indeks (kes ke-56,262) dilaporkan positif Covid-19 hasil saringan di tempat kerja pada 23 November lalu dan setakat ini sebanyak 30 kes dikesan positif dalam kluster ini.

"Dua kluster pula dilaporkan di Johor iaitu Kluster Batu Tujuh di Batu Pahat yang sudah menjangkiti 13 individu. Kes indeks (kes ke-54,703) adalah kes Severe Acute Respiratory Infections (SARI) yang dikesan positif Covid-19 pada 22 November lalu.

"Kluster Tanjung Bunga dilaporkan di Johor Bahru yang mana kes indeks (kes ke-53,639) juga kes SARI dan dikesan positif Covid-19 pada 21 November lalu. Sehingga kini sebanyak 11 kes positif dalam kluster ini," katanya dalam sidang media harian Covid-19 hari ini.

Selain itu, beliau berkata, Kluster Kerengge dikenal pasti di Marang yang membabitkan enam kes positif setakat ini.

Katanya, kes indeks (kes ke-49,709) dilaporkan positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 17 November lalu dan sejumlah 680 individu sudah disaring.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 7:15 PM