GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Lima kluster baharu Covid-19 dikesan hari ini di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pertama ialah Kluster Jalan Galah yang dilaporkan di Klang, Selangor melalui saringan bersasar di sebuah kilang.

"Kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 13 Disember lalu dan setakat hari ini seramai 22 dikesan positif.

"Kluster kedua ialah Kluster Jalan Datuk dengan kes indeks (kes ke-103,899) dilaporkan positif pada 26 Disember lalu hasil saringan individu bergejala.

"Sejumlah 34 individu disaring dan 23 kes dikesan positif dalam kluster ini yang membabitkan daerah Titiwangsa, Kepong, Lembah Pantai, Klang, Hulu Langat dan Putrajaya," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kluster seterusnya adalah Kluster Kampung Baharu di Johor Bahru dan Pontian, Johor yang mana 35 individu disahkan positif.

Menurutnya, kes bagi kluster berkenaan dilaporkan positif bermula 23 Disember lalu melalui saringan bersasar di sebuah kilang dan saringan kontak rapat.

"Kluster keempat iaitu Kluster Pekeliling pula di Johor Bahru yang mana 27 individu dikesan positif melalui saringan bersasar di sebuah kilang," katanya.

Beliau berkata, kluster terakhir adalah Kluster Jalan Rasah membabitkan daerah Seremban di Negeri Sembilan dan Putrajaya.

Katanya, kes indeks bagi kluster itu (kes ke-98,370) adalah kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) yang dilaporkan positif pada 23 Disember lalu dan setakat hari ini, seramai 17 individu positif.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 7:02 PM