GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Satu kluster jangkitan Covid-19 dikesan di Wilayah Persekutuan Labuan membabitkan pusat asuhan.

Kluster Taman Mahkota Impian itu antara sembilan kluster baharu yang dikenal pasti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, dengan lima daripadanya membabitkan kluster tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks bagi kluster tempat kerja itu (kes ke-198,084) dilaporkan positif Covid-19 pada 28 Januari lalu hasil saringan individu bergejala.

"Kluster ini membabitkan pekerja dan kanak-kanak pusat asuhan yang terletak di Taman Mahkota Impian, Sungai Buton. Sehingga hari ini, tujuh kes dikesan positif Covid-19," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, empat lagi kluster tempat kerja yang membabitkan pekerja kilang iaitu Kluster Jalan Faizal, Pontian, Johor yang merekodkan 68 kes positif Covid-19, Kluster Jalan Satria, Johor Bahru (38 kes), Kluster Jalan Dewani Satu, Johor Bahru (16 kes) dan Kluster Industri Peramu Jaya, Pekan, Pahang (11 kes).

"Seterusnya kluster komuniti dikenali Kluster Indah Riang membabitkan daerah Kuching, Simunjan, Samarahan dan Saratok di Sarawak. Kes indeks bagi kluster itu (kes ke-179,823) dilaporkan positif Covid-19 pada 23 Januari lalu hasil saringan individu bergejala.

"Kluster ini membabitkan satu majlis sosial yang dihadiri oleh kes indeks. Sehingga hari ini, sebanyak 20 kes dikesan positif Covid-19," katanya.

Beliau berkata, Kluster Jalan Pakat di Kuala Selangor iaitu kes indeks (kes ke-173,134) dikesan positif pada 22 Januari hasil saringan individu bergejala dan nama kluster merujuk kepada lokaliti kes indeks bertugas secara sambilan.

Menurutnya, setakat hari ini, kluster itu sudah merekodkan 27 kes positif daripada 74 individu disaring.

Tambah beliau, Kluster Kampung Kemansur di daerah Bentong, Pahang pula merujuk kepada lokaliti kediaman kes indeks (kes ke-154,682) yang dilaporkan positif Covid-19 pada 16 Januari lalu hasil saringan individu bergejala.

Katanya, sebanyak 11 kes positif dikesan daripada 43 individu yang disaring dalam kluster itu.

"Kluster terakhir iaitu Kluster Jalan Kejora adalah kluster kumpulan berisiko tinggi membabitkan daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin di Melaka serta Bandar Baharu di Kedah.

"Kes indeks (kes ke-150,857) dilaporkan positif Covid-19 pada 15 Januari lalu hasil saringan individu bergejala dan setakat hari ini, seramai 36 individu dikesan positif Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 7:43 PM