Sampah sarap memenuhi rumah dua tingkat yang dihuni tiga beranak itu
Sampah sarap memenuhi rumah dua tingkat yang dihuni tiga beranak itu
Agensi

Seoul: Berikutan sikap malas anaknya untuk bekerja, sepasang suami isteri warga emas mengumpul sampah-sarap seberat 150 tan sebagai 'harta bernilai' sekiranya mereka meninggal dunia.

Sampah-sarap itu dikumpul selama 10 tahun khas untuk anak lelaki mereka yang pemalas kononnya boleh dijual sebagai barang bernilai.

Kisah pasangan suami isteri itu dilaporkan media Korea Selatan iaitu SBS yang menunjukkan bagaimana Choi, 75, berasal dari Gwangju mengubah rumah dua tingkatnya sebagai 'pusat pengumpulan sampah.'

Oddity Central melaporkan lelaki itu mengutip sampah daripada tong sampah dan yang dibuang di tepi jalan.

Baginya sampah berkenaan boleh menjadi sesuatu yang bernilai tinggi kepada orang lain sehingga memenuhi setiap inci rumahnya.

Choi berkata, dia mengutip sampah kerana mahu mengisi banyak barang di dalam rumah itu untuk anak lelakinya yang sudah lebih setahun tidak keluar rumah.

Anak lelakinya yang berusia 40-an itu juga tidak pernah keluar bekerja dan hanya menghabiskan masanya di dalam rumah tanpa berbuat apa-apa dan hidup dengan wang persaraan kedua-dua ibu bapanya.

Sampah sarap memenuhi rumah dua tingkat yang dihuni tiga beranak itu
Sampah sarap memenuhi rumah dua tingkat yang dihuni tiga beranak itu

"Anak saya suka duduk di rumah, tidak keluar mencari kerja dan ia membimbangkan saya.

"Saya risau sekiranya saya dan isteri sudah tiada kelak, dia tiada tempat bergantung lalu saya menyimpan banyak barang untuk anak saya, agar ia boleh dijual," kata Choi.

Choi, isterinya dan anak lelaki mereka tidur di dalam satu ruang kecil di rumah itu memandangkan kawasan lain semuanya dipenuhi sampah.

Bagaimanapun, isteri Choi menderita masalah jantung yang serius dan doktor menyarankan supaya dia tinggal dalam persekitaran yang bersih.

Choi akhirnya terpaksa bersetuju untuk mendapatkan khidmat sukarelawan bagi membersihkan kediamannya itu.

Seramai 226 orang sukarelawan dan satu jentera pengorek digunakan bagi membuang 150 tan sampah yang dikutip Choi.

Sebaik sahaja melihat kediamannya bersih buat pertama kalinya selepas bertahun-tahun, lelaki itu menangis dan berkata dia tidak akan mengutip sampah lagi demi kesihatan isterinya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 6:30 AM