Bot nelayan Indonesia diusir keluar dalam Op Benteng dan Op Jaksa di sektor 7 perairan Batu Pahat, di sini, semalam. Foto Ihsan APMM
Bot nelayan Indonesia diusir keluar dalam Op Benteng dan Op Jaksa di sektor 7 perairan Batu Pahat, di sini, semalam. Foto Ihsan APMM
Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Sebuah bot nelayan Indonesia bersama 28 kru yang menceroboh perairan negara diusir keluar dalam Op Benteng dan Op Jaksa di sektor 7 perairan Batu Pahat di sini, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, bot berkenaan dikesan berada pada kedudukan 14.8 batu nautika barat daya Tanjung Labuh oleh Bot Benteng Zon Maritim Batu Pahat pada 5 petang.

"Bot Benteng Maritim berkenaan mendekati bot nelayan Indonesia terbabit dan mengarahkan berhenti untuk tujuan pemeriksaan.

"Bot berwarna hijau-biru dengan nombor pendaftaran A/711/KP-PS/001132 itu didapati melepasi satu batu nautika daripada garis sempadan perairan Malaysia-Indonesia dan diiring serta diusir keluar hingga ke sempadan perairan", katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Nurul Hizam, ia merupakan pengusiran pertama yang dilakukan oleh APMM Johor selepas arahan penahanan ditangguhkan sementara berikutan langkah pencegahan penularan Covid-19 oleh warga asing.

"APMM Johor terus komited dalam menggalas tugas dan tanggungjawab walaupun cabaran keadaan cuaca yang tidak menentu pada hujung tahun.

"Ia bagi memastikan tiada pencerobohan oleh bot nelayan asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke dalam perairan negara bagi menghentikan pendemik yang melanda negara terutamanya di negeri Johor, katanya.

Katanya, sebarang aduan jenayah maritim atau pencerobohan PATI di perairan Johor segera menghubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Johor (07-219 9404) atau talian hotline 24 jam National Task Force (NTF) (011-62511223)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2020 @ 10:59 AM