LAPORAN Portal Harian Metro
LAPORAN Portal Harian Metro
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah berharap kejadian kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun menunggang motosikal di Kampung Paya Chegar, Jitra, Ahad lalu menjadi pengajaran kepada ibu bapa agar tidak berulang.

Pengarahnya, Ismasuhaimi Shariff berkata, ibu bapa perlu bertanggungjawab mengawasi anak terutama ketika mereka tidak pergi ke sekolah.

Katanya, kejadian yang tular itu harus menjadi iktibar selepas kanak-kanak terbabit didapati melakukan kesalahan menunggang motosikal di bawah umur, cukai jalan tamat tempoh dan tidak dilindungi insurans serta tidak memakai topi keledar.

"Manakala warisnya pula dikenakan tindakan mengikut Seksyen 39 (5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan pemandu bawah umur memandu kenderaan bermotor.

"Ini adalah satu kesalahan yang serius kerana membenarkan pemandu bawah umur membawa kenderaan bermotor. Pada ketika sekolah ditutup, saya berharap ibu bapa memantau dan menjaga anak mereka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ Kedah, di sini, hari ini.

Ismasuhaimi berkata, kes terbabit dianggap selesai selepas waris membawa kanak-kanak berkenaan menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, semalam.

Katanya, waris juga boleh diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) berikutan Kedah kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Kesannya menyebabkan ibu bapa ataupun waris akan terbeban kerana terpaksa membayar saman dan kompaun yang tinggi.

"Saya menasihati ibu bapa sentiasa mengawasi anak agar mereka tidak merayau di jalan raya kerana bukan sahaja membahayakan diri sendiri, tetapi juga pengguna jalan raya lain," katanya.

Sebelum ini, video kanak-kanak lelaki menunggang motosikal di simpang tiga Kampung Paya Chegar, Jitra menjadi tular di media sosial sebelum dia dibawa warisnya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu pada jam 2.40 petang semalam.

Berita berkaitan

Hebat hang dik... [METROTV]

Penunggang cilik sudah serah diri

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 7:08 PM