GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Noor Mohamad Shakil Hameed

MUTAKHIR ini semakin banyak kes penganiayaan terhadap haiwan dilaporkan berlaku di negara kita. Ini satu senario yang cukup membimbangkan dan walau apapun alasannya, tidak wajar menzalimi haiwan kerana haiwan juga makhluk ciptaan Tuhan yang perlu dilindungi dan disayangi.

Malah, perlu diingat Tuhan mencipta manusia dan haiwan dengan tujuan tertentu yang ada peranan untuk saling melengkapi antara satu dengan lain.

Beberapa insiden penganiayaan terhadap haiwan yang dilaporkan baru-baru ini cukup mengejutkan khalayak kerana wujudnya ahli masyarakat yang sanggup memperlakukan haiwan seperti itu.

Antaranya, tindakan kejam seorang lelaki di Alor Setar yang memanah seekor anjing sehingga mati di mana kejadian ini dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan tular dalam media sosial sehingga mencetuskan kemarahan dalam kalangan anggota masyarakat.

Polis juga menangkap dua lelaki yang dikaitkan dengan insiden terbabit. Sebelum itu, berlaku lagi beberapa kes antaranya, seorang wanita didapati memukul dua kucing menyebabkan kematian seekor daripadanya yang bunting.

Wanita itu dikatakan berang kerana kucing membuang najis di hadapan rumahnya. Dalam kejadian lain, seorang lelaki didapati merodok perut anjing jirannya manakala kita juga masih ingat kejadian seorang penganggur dihadapkan di mahkamah kerana melemaskan tiga kucing dalam mesin basuh di pusat dobi layan diri.

Ini adalah antara beberapa kes yang tular dan dilaporkan, tetapi kita percaya jumlah kes kekejaman ini hanya sebahagian kecil daripada jumlah sebenar kerana kebanyakannya tidak dirakam, ditular atau dilaporkan.

Oleh itu, timbul persoalan apa sudah jadi dengan anggota masyarakat yang didapati begitu sukar mengawal diri, emosi dan perasaan geram serta marah?

Kenapa mudah hilang pertimbangan hingga bertindak begitu zalim kepada makhluk yang tidak dikurniakan akal dan keupayaan untuk berfikir dan bertindak dengan rasional seperti manusia?

Walaupun ada kes di mana haiwan liar terutama anjing liar didapati mendatangkan ancaman kepada manusia terutama kanak-kanak, namun membalas balik dengan kekejaman seperti ini bukan jalan penyelesaiannya.

Malah, haiwan juga tidak boleh dijadikan tempat untuk melepaskan geram. Pada dasarnya, kita tidak mempunyai hak untuk menghukum haiwan apatah lagi dengan sekejam ini.

Pelbagai punca dikaitkan dengan perilaku individu yang bertindak zalim seperti ini iaitu masalah mental, latar belakang pelaku serta sikap yang menganggap haiwan sebagai gangguan dan ancaman keselamatan kepada kehidupan pelaku.

Namun hakikatnya, boleh dirumuskan punca utamanya ialah tiada kesedaran, prihatin dan kasih terhadap haiwan.

Kebanyakan penganiayaan haiwan dilakukan orang dewasa, ini menunjukkan golongan dewasa masih tidak mempedulikan keperluan untuk menjaga dan melindungi kebajikan haiwan.

Hal ini berlaku kerana kita gagal menyedari kenyataan bahawa kita juga mempunyai tanggungjawab terhadap haiwan baik haiwan peliharaan sendiri, jiran mahupun haiwan liar.

Negara ada undang-undang untuk melindungi haiwan serta menghukum individu yang menganiaya haiwan seperti Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM20,000 sehingga RM100,000 serta penjara sehingga tiga tahun sekiranya didapati bersalah menganiaya haiwan.

Namun persoalannya, sejauh mana ia mampu memberi kesedaran kepada orang ramai untuk menjaga kebajikan haiwan?

Jika anggota masyarakat sedar dan prihatin, tidak mungkin segala insiden yang dilaporkan itu akan berlaku di negara kita.

Jelas sekali, hukuman bukan penyelesaian utama kepada kesalahan jenayah terhadap haiwan ini.

Justeru, pendidikan berkaitan kesedaran melindungi dan menjaga kebajikan haiwan perlu diberi perhatian yang serius dan dipupuk sejak kecil jika mahu menangani masalah penganiayaan terhadap haiwan.

Dalam konteks ini, kita perlu memberi perhatian kepada pendidikan secara formal di sekolah mahupun institusi pengajian tinggi (IPT) serta pendidikan tidak formal iaitu di rumah oleh ibu bapa sendiri.

Sistem pendidikan negara baik di peringkat sekolah mahupun IPT perlu menyediakan ruang dan peluang yang secukupnya untuk mendidik pelajar berkaitan keperluan untuk melindungi dan menyayangi keselamatan serta kebajikan haiwan.

Hakikatnya, sistem pendidikan negara perlu menjadi platform yang menerapkan elemen tanggungjawab sebagai manusia terhadap haiwan.

Ibu bapa pula perlu memikul tanggungjawab untuk mendidik anak-anak di rumah. Ironinya, walaupun kita tidak memelihara sebarang haiwan peliharaan, namun ibu bapa wajar mendidik anak-anak supaya dapat menzahirkan rasa kasih dan sayang terhadap haiwan secara umumnya.

Budaya menghormati hak haiwan perlu diterapkan dalam sanubari anak-anak sejak kecil umpama melentur buluh biar dari rebungnya supaya bila dewasa kelak, anak ini akan terus menyayangi haiwan.

Ringkasnya, mendidik dan mengasuh anak-anak berkaitan kepentingan berkasih sayang dengan haiwan dapat membina sifat empati dan belas kasihan dalam diri mereka sejak kecil, sekali gus akan bertindak sebagai langkah awal ke arah mencegah penganiayaan terhadap haiwan.

Sudah tiba masanya untuk menghentikan sebarang bentuk penganiayaan terhadap haiwan. Hargai dan iktiraf sumbangan haiwan yang banyak memberi manfaat kepada kehidupan manusia.

Tuntasnya, adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk melindungi dan menjaga kebajikan haiwan.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 5:59 AM