GAMBAR Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin yang dimuat naik di Instagram Selangor Royal Official.
GAMBAR Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin yang dimuat naik di Instagram Selangor Royal Official.
Ruwaida Md Zain


INSIDEN seekor kucing betina yang dianiaya apabila dimasukkan dalam mesin pengering kedai dobi layan diri di Taman Gombak Ria, Selasa lalu, turut mendapat perhatian Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Dalam satu kenyataan akhbar yang dimuat naik ke laman sosial Facebook Selangor Royal Office dan Instagram Selangor Royal Official, Baginda turut menzahirkan rasa sedih dan dukacita mengenai penganiayaan terhadap haiwan berkenaan.

“Saya terkejut dan sedih dengan perbuatan menzalimi haiwan yang kian berleluasa. Sifat kemanusiaan seolah-olah sudah hilang dalam diri pelaku sehingga sanggup menganiaya haiwan yang sedang sarat mengandung,” titah baginda.

Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Penaung Diraja Kempen Stray Free Selangor (SFS) secara rasmi menghantar surat kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Malaysia meminta tindakan sewajarnya diambil terhadap pelaku jika terbukti bersalah, agar perbuatan seumpamanya tidak berulang.

Titah baginda lagi, masyarakat harus peka kerana haiwan juga ada hak dan dilindungi mengikut undang-undang dan tidak seharusnya berlaku penderaan dan penganiayaan sewenang-wenangnya terhadap haiwan khususnya haiwan peliharaan.

Menurut kenyataan itu, mana-mana pihak yang membunuh, meracun atau mencederakan binatang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Selasa lalu, dalam kejadian jam 12.30 tengah malam, dua lelaki didapati melakukan kezaliman dengan membunuh seekor kucing terbiar yang sedang bunting dengan meletakkan dalam mesin pengering pakaian.

Perbuatan kejam dua lelaki berkenaan bagaimanapun berjaya dirakam oleh CCTV premis berkenaan dan tular di media sosial.

Bangkai haiwan itu ditemui seorang pelanggan lain pada jam 10.30 pagi apabila mahu menggunakan mesin pengering berkenaan.

Dua daripada tiga lelaki yang terbabit dalam kejadian itu sudah ditahan polis dan direman selama empat hari bermula hari ini hingga Isnin depan untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 9:09 PM