Foto hiasan
Foto hiasan
Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ), Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika), Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan pusat aktiviti yang berada di zon merah di sini, diarahkan tutup sementara.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi berkata, arahan penutupan SAKJ itu dibuat susulan daerah ini yang diklasifikasikan sebagai zon merah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, semuanya SAKJ ditutup bermula 1 sehingga 14 November ini membabitkan kawasan di Johor Bahru dan Kulai.

"Arahan penutupan sementara ini membabitkan semua SAKJ, Tadika Agama Johor, sekolah Darjah Khas, Kolej Marsah Johor, Maahad dan Pusat Tahfiz berdaftar serta sekolah agama persendirian berdaftar di sekitar Johor Bahru dan Kulai.

"Ia turut merangkumi mana-mana pusat tahfiz, pondok dan madrasah yang tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri Johor," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor Zaiton Ismail, berkata semua Tabika, Taska, pusat jagaan, pusat aktiviti warga emas dan kanak-kanak serta pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di zon merah di sini, ditutup sementara bermula 2 hingga 14 November ini.

Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut memutuskan sebanyak 269 kelas Taska dan Tbika membabitkan 7,104 kanak-kanak akan ditutup sementara, selain arahan sama turut dikeluarkan bagi pusat jagaan warga emas dan pusat PDK.

"Keputusan penutupan ini dibuat selepas menerima pandangan Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor untuk memastikan pandemik Covid-19 dapat dikawal dan tidak dijangkiti kepada golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan warga emas," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 9:31 AM