Asrol Awang


Kuantan: Sebanyak 180 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (tabika) dan Taman Asuhan Kanak-kanak (taska) di seluruh negara ditutup berikutan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sehingga semalam.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, daripada jumlah itu, penutupan premis itu membabitkan 105 Tabika dan 75 Taska kecuali di Negeri Sembilan dan Melaka selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Penutupan Tabika dan Taska selama 10 hari dan selepas tempoh itu, sama ada boleh dibuka dan tidak bergantung kepada keputusan KKM," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Sambutan Aidilfitri Bersama warga Jabatan Kemajuan Masyarakat, (Kemas) Pahang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohamad Yasid Bidin.

Mahdzir Khalid ketika sidang media pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri, KEMAS Negeri Pahang. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Mahdzir Khalid ketika sidang media pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri, KEMAS Negeri Pahang. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG

Beliau berkata, Kemas sentiasa memantau perkembangan dan mengambil langkah proaktif dalam menangani penularan HFMD di Tabika dan Taska.

Katanya, ibu bapa dan penjaga juga tidak perlu bimbang kerana Kemas sentiasa memantau setiap hari kehadiran kanak-kanak berkenaan.

"Kita juga meminta 12,043 Pendidik Masyarakat Tabika dan 1,837 Pendidik Masyarakat Taska mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan membuat saringan awal seperti mengimbas suhu badan setiap kali kanak-kanak ini hadir ke kelas.

"Apabila tamat sesi pembelajaran juga kita buat pemerhatian jika terdapat kanak-kanak mempunyai simptom jangkitan HFMD dan ibu bapa akan dimaklumkan segera untuk membawa anak mereka mendapat rawatan doktor.

"Murid tabika dan taska Kemas juga akan diasingkan jika didapati mempunyai gejala HFMD bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada kanak-kanak lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 1:47 PM