Baharom Bakar

Kuala Nerus: "Isu menuntut semula potongan gaji tiga bulan disumbangkan kepada tabung Covid-19 tidak berbangkit," kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Mohd Khairuddin menegaskan dakwaan mengatakan beliau akan menuntut balik potongan gaji selepas Jabatan Peguam Negara memutuskan tiada tindakan atas pelanggaran perintah kuarantin di rumah adalah tidak berasas.

"Semuanya sudah selesai, lebih baik saya mendiamkan diri dan tidak mengulas lanjut mengenai isu yang dibangkitkan," katanya ketika ditemui pada majlis pengagihan beras kepada penduduk miskin di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Nerus, di pekan Batu 6, di sini, hari ini.

MOHD Khairuddin (gambar fail). FOTO Arkib NSTP
MOHD Khairuddin (gambar fail). FOTO Arkib NSTP

Mohd Khairuddin memberi reaksi itu bagi mengulas dakwaan yang dimuat naik melalui laman sosial Facebook (FB) dan tular di mendia sosial.

Rabu lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed dilaporkan berkata, kertas siasatan polis sudah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan pejabat itu memutuskan untuk tiada tindakan lanjut (NFA).

Berikutan keputusan itu, pelbagai pihak termasuk pemimpin politik mendakwa kerajaan dan pejabat Peguam Negara mengamalkan double standard dalam melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 4:38 PM