Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja syarikat sarung tangan Top Glove di Klang, Selangor, disambung bermula esok sehingga 14 Disember.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini berikutan masih terdapat kes positif Covid-19 baharu direkodkan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, sehingga kini sebanyak 5,805 ujian saringan teradap pekerja kilang dilaksanakan dan merekodkan 3,406 kes positif.

"Penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mendapati kadar positif di kawasan itu masih tinggi yang mana terdapat kes positif baharu dikesan di kalangan pekerja melalui ujian saringan kedua.

"Selain itu, KKM mendapati kes negatif dalam kluster ini masih berisiko dan ujian saringan kedua sedang diteruskan," katanya dalam sidang media hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, semua pekerja kilang diwajibkan menjalani ujian saringan yang dijalankan klinik swasata dengan dipantau dan dikawal selia oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang.

Beliau berkata, pekerja bukan warganegara yang disaring dan negatif akan diletakkan di Stesen Kuarantin manakala pekerja warganegara menjalani kuarantin di rumah serta mereka diletakkan di bawah perintah pengawasan (HSO) selama 14 hari, memakai gelang pengawasan selain perlu menjalani ujian saringan kedua pada hari ke-13.

Katanya, mereka tidak dibenarkan bekerja sehingga keputusan saringan ulangan dan pelepasan HSO diberikan.

Tambah beliau, bagi pekerja bukan warganegara positif pula akan ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di asrama diwartakan manakala pekerja warganegara ditempatkan di fasiliti KKM.

"Segala keperluan termasuk makan minum, penginapan serta pengangkutan akan ditanggung oleh pihak majikan. Pekerja bukan warganegara hanya dibenarkan bekerja sekiranya diberikan pelepasan HSO atau kes positif didiscaj dari fasiliti kesihatan dan diberi nota discaj disahkan.

"Kesemua pekerja yang dilepaskan HSO akan dipakaikan gelang pengawasan berlainan warna bagi memantau," katanya.

Petugas KKM membawa pekerja syarikat sarung tangan Top Glove yang positif Covid-19 ke Hospital Sungai Buloh (gambar fail). FOTO Arkib NSTP
Petugas KKM membawa pekerja syarikat sarung tangan Top Glove yang positif Covid-19 ke Hospital Sungai Buloh (gambar fail). FOTO Arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 6:11 PM