NORA Anne Quoirin
NORA Anne Quoirin
BERNAMA

Seremban: Mahkamah Koroner di sini, diberitahu bahawa emel menuntut wang tebusan yang diterima keluarga Nora Anne Quoirin pada 7 Ogos 2019 sudah dipadamkan.

Saksi polis, Deputi Superintendan Hazizi Abd Samad, 42, dari Bahagian Siasatan Jenayah Siber, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berkata, emel berkenaan disedari tidak lagi wujud selepas semakan dibuat pada 14 September lalu selepas alamat emel berkenaan diperoleh pada 11 September lalu.

"Dalam siasatan membabitkan emel ini ada dua bahagian utama, yang pertama ialah kandungan dan kedua header. Tugas saya sebagai penganalisa emel ini, kita lebih melihat kepada header kerana ia mengandungi maklumat bagaimana sesuatu emel dihantar, maklumat pelayar dan juga alamat IP (Internet Protokol).

"Pada 14 September 2020 saya buat semakan terhadap emel '[email protected]' iaitu mungkin suspek melalui laman web 'email checker' dengan ia menunjukkan emel berkenaan dipadamkan," katanya ketika memberi keterangan.

Prosiding inkues yang dilakukan di hadapan Koroner Maimoonah Aid bagi menentukan punca kematian remaja perempuan warga Ireland-Perancis itu memasuki hari ke-13, hari ini.

Menurut Hazizi, berdasarkan pengalamannya selama 14 tahun di bahagian jenayah siber, kandungan emel berkenaan merupakan salah satu sifat scammer selain siasatan tidak menjumpai IP sebenar pengirim.

Katanya, memandangkan emel berkenaan yang didaftarkan di bawah Microsoft Cooperation, hanya syarikat berkenaan yang mengetahui alamat sebenar emel dan tarikh ia dicipta dan alamat IP hotmail itu adalah kepunyaan Microsoft.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Nuralis Mat yang bertindak sebagai pegawai pengendali mengenai kesimpulan yang dapat dibuat mengenai emel berkenaan, Hazizi berkata: "Pada pandangan saya, alamat IP emel berkenaan hanya Microsoft sahaja yang mengetahui."

Menjawab soalan peguam kepada keluarga Nora Anne, S Sakthyvell sama ada polis boleh mendapatkan maklumat daripada Microsoft, Hazizi berkata, ia boleh dilakukan dengan menggunakan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) dengan Amerika Syarikat.

Sakthyvell:"Bermakna hanya pihak Microsoft saja yang tahu maklumat terperinci siapa pemilik emel ini?

Hazizi: "Pihak Microsoft menyimpan segala rekod daripada permulaan emel diwujudkan, transaksi penghantarannya dan bila ia padamkan'.

"Jadi, mungkin pemiliknya bagi pendapat saya pula, disebabkan hotmail bersifat terbuka, sesiapa sahaja boleh mendaftar dengan sebarang identiti.

Ditanya Sakthyvell sama ada boleh sesuatu emel itu dicipta di negara ini, namun menggunakan alamat IP dari United Kingdom atau Amerika Syarikat dan Hazizi menjawab ia boleh dilakukan.

Terdahulu, dua saksi iaitu seorang pekerja pengiklanan, M Magendran, 39, dan Pegawai Penyiasat Mata Wang Kripto Bahagian Siasatan Perakaunan Forensik, JSJK Bukit Aman Inspektor Nur Adli Md Saari, 36, yang masing-masing merupakan saksi ke-30 dan 31, dipanggil memberi keterangan.

Nur Adli ketika memberi keterangan memaklumkan mahkamah bahawa nombor e-dompet yang tertera di dalam emel berkenaan menuntut bayaran berjumlah dua bitcoin dan dikesan bersifat scammer.

Katanya, polis sudah mendepositkan sebanyak RM100 pada 13 Ogos tahun lepas dan semakan ke atas e-dompet berkenaan mendapati ia aktif pada 12 dan 13 Ogos dengan transaksi kemasukan wang dan pemindahan wang ke dalam pelbagai akaun lain bertujuan menyukarkan pihak berkuasa mengesan.

"E-dompet yang digunakan selari dengan teknik yang digunakan oleh scammer," katanya.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos tahun lalu, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan Pantai di sini, kira-kira 60 kilometer (km) di selatan ibu negara.

Pada 13 Ogos 2019, mayat Nora Anne ditemukan berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 km dari resort penginapannya susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berwajib.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja berkenaan yang juga golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan berpanjangan.

Prosiding inkues bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 3:51 PM