BERNAMA

Seremban: Prosiding inkues bagi menentukan kematian remaja perempuan warga Ireland-Perancis, Nora Anne Quoirin di Mahkamah Koroner Seremban terpaksa ditangguh selepas seorang saksi didapati kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

Peguam kepada keluarga remaja itu, S. Sakthyvell ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, permohonan penangguhan itu dibuat pasukan pengendali inkues, hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun, prosiding itu akan diteruskan seperti biasa esok dengan saksi akan memberi keterangan menerusi aplikasi Zoom.

"Saya hanya mendapat pemakluman mengenai perkara itu pada 5.30 pagi hari ini oleh penolong pendaftar mahkamah. Tetapi dimaklumkan saksi berkenaan dikuarantin dan jalankan ujian calitan serta masih menunggu keputusan.

"Saksi itu yang menjadi kontak rapat dengan pesakit telah membuat satu mesyuarat dengan pihak pengendali inkues minggu lalu.

"Sekarang, kami sedang menunggu keputusan, kalau positif mungkin pihak pengendali terpaksa buat ujian calitan. Itulah alasan pihak pengendali kerana mereka baru tahu saksi merupakan kontak rapat kepada pesakit Covid-19 semalam," katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mahkamah memaklumkan sebarang perkembangan prosiding akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Esok, seramai tiga saksi daripada Polis Diraja Malaysia akan memberi keterangan menerusi Zoom.

Prosiding inkues berkenaan berlangsung di hadapan Koroner Maimoonah Aid dan setakat ini, seramai 19 saksi dipanggil.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos tahun lalu, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan Pantai di sini, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Pada 13 Ogos, mayat Nora Anne ditemukan berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya susulan pencarian besar-besaran dilakukan pihak berwajib.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja berkenaan yang juga golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan berpanjangan.

NORA Anne. FOTO Arkib NSTP
NORA Anne. FOTO Arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 1:26 PM