Seorang lelaki parah selepas kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Abdullah Tahir, awal pagi tadi. FOTO IHSAN POLIS
Seorang lelaki parah selepas kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Abdullah Tahir, awal pagi tadi. FOTO IHSAN POLIS
Oleh Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Seorang lelaki parah selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh kedai serbaneka 24 jam di Jalan Abdullah Tahir di sini, awal pagi tadi.

Kemalangan berlaku kira-kira 800 meter dari lokasi kemalangan yang meragut anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 pagi itu, lelaki berusia 25 tahun yang memandu kereta Toyota Vios terbabit cedera parah dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku berpunca daripada pemandu Toyota Vios itu yang dipercayai hilang kawalan ketika melalui Jalan Abdullah Tahir menghala ke Jalan Tebrau.

"Ia menyebabkan kereta mangsa terbabas lalu merempuh kedai serbaneka berkenaan yang berada di kiri jalan.

"Akibat daripada kemalangan berkenaan, mangsa mengalami kecederaan parah dan masih menerima rawatan di wad ICU HSA manakala kedai serbaneka berkenaan pula mengalami kerosakan teruk.

"Ketika kejadian, hanya seorang pekerja kedai berkenaan berada dalam premis dan dia tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kemalangan ini masih dalam siasatan termasuk sama ada mangsa terbabit memandu di bawah pengaruh alkohol atau tidak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Padzli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2020 @ 5:16 PM