LEBIH 21 tan tomato dianggar bernilai RM21,000 yang cuba diseludup dari Thailand ke negara ini di ICQS, Bukit Kayu Hitam.FOTO Ihsan MAQIS
LEBIH 21 tan tomato dianggar bernilai RM21,000 yang cuba diseludup dari Thailand ke negara ini di ICQS, Bukit Kayu Hitam.FOTO Ihsan MAQIS
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas lebih 21 tan tomato dianggarkan bernilai RM21,000 yang cuba diseludup dari Thailand ke negara ini, semalam.

Produk pertanian itu dirampas dalam pemeriksaan ke atas sebuah lori di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam pada 12.30 tengah hari.

Pengarah Maqis Kedah, Lily Rosalind Paul berkata, tomato itu dibawa masuk ke negara ini tanpa mematuhi syarat import ditetapkan iaitu pengredan, pembungkusan dan pelabelan seperti dinyatakan dalam sijil 3P.

"Kegagalan untuk mengemukakan maklumat terbabit adalah menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau keduaduanya sekali," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 3:32 PM