TAKIYUDDIN berucap pada  Muktamar Tahunan PAS ke-66. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
TAKIYUDDIN berucap pada Muktamar Tahunan PAS ke-66. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Pas yakin Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpengalaman mengendalikan sebarang isu kepimpinan negara.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ia berdasarkan kuasa dan budi bicara baginda di sisi perlembagaan dan undang-undang.

"Setiap orang bebas untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong atas perkenan baginda," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Untuk rekod, Pas mempunyai 18 kerusi Parlimen yang dimenangi menerusi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Akhbar sebelum ini melaporkan, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, beliau mendapat perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober ini.

Dalam satu kenyataan, Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat dilapor berkata, beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya seperti dinyatakan ketika sidang medianya pada 23 September lalu.

Dengan itu, kata Ahli Parlimen Port Dickson merangkap Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), langkah yang sebelum ini tertangguh kini dapat dilaksanakan selepas mendapat perkenan menghadap baginda.

Beliau juga meminta semua pihak untuk terus bertenang susulan perkembangan semasa mengenai politik tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 11:57 AM