Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Lebih 100 pengamal media berkumpul di Dataran Merdeka di sini, tadi, bagi membawa suara solidariti kepada rakan media yang bertaruh nyawa menyampaikan berita kekejaman Israel di Semenanjung Gaza, Palestin.

Wakil perhimpunan Save Press 4 Gaza (SP4G) Sairien Nafis berkata, pengamal media Malaysia daripada 26 persatuan serta agensi hadir bagi menyokong penuh dan meniup semangat kepada pengamal media di sana untuk terus membuat liputan bagi menyebarkan kebenaran kepada dunia.

Perhimpunan aman SP4G itu disertai 26 kelab Media Malaysia antaranya National Union Journalist (NUJ), Gerakan Media Merdeka (Geramm), Crime Journalist Association (CIJA) dan Foreign Correspondent's Club Malaysia.

Sarien Nafis berkata, lebih 40 pengamal media terkorban akibat tindakan terkutuk Israel di Gaza dalam tempoh enam minggu.

"Keluarga mereka turut menjadi sasaran Israel apabila dibom dan dibunuh dengan kejam sebagai tanda amaran kepada pengamal media supaya tidak menyebarkan kebenaran yang berlaku.

"Jadi kami sebulat suara berdiri di sini untuk mengecam tindakan kejam Israel ke atas pengamal media di Gaza, keluarga mereka serta seluruh anak-anak kecil dan penduduk Palestin yang tidak berdosa.

"Kami juga menggesa pengamal media seluruh dunia bangkit bersuara menentang keganasan Israel dan menunjukkan sokongan kepada media di Gaza supaya perjuangan mereka tidak sia-sia," katanya ketika ditemui di Dataran Merdeka, di sini.

Beliau berkata, Media Malaysia menyokong penuh dan mahu meniup semangat kepada pengamal media di Gaza untuk terus membuat liputan bagi menyebarkan kebenaran kepada dunia.

"Kita menggesa media barat menyampaikan berita benar dan tepat mengenai serangan Israel terhadap rakyat Palestin.

"Tugas media adalah untuk menyampaikan cerita yang betul bukan penipuan dengan pelbagai propanganda," katanya.

PENGAMAL media berkumpul di Dataran Merdeka bagi menyuarakan solidariti kepada pengamal media yang bertugas dalam menyampaikan berita di Gaza, Palestin pada perhimpunan Save Press 4 Gaza (SP4G). FOTO Asyraf Hamzah
PENGAMAL media berkumpul di Dataran Merdeka bagi menyuarakan solidariti kepada pengamal media yang bertugas dalam menyampaikan berita di Gaza, Palestin pada perhimpunan Save Press 4 Gaza (SP4G). FOTO Asyraf Hamzah

Setiausaha CIJA, Hafidzul Hilmi Mohd Noor, menegaskan pengamal media perlu menegakkan prinsip kebebasan akhbar dan memupuk landskap media global yang menghargai kebenaran dan keadilan.

"Diharap dengan himpunan pagi ini dapat memberi sokongan kepada rakan kita (media) dan Gaza untuk terus bertahan dalam memperjuangkan kebenaran.

Sementara itu, Ketua Biro Al Jazeera Malaysia, Sameer Allawi, 57, berkata, beliau berterima kasih atas sokongan diberikan pengamal media di Malaysia yang memperjuangkan nasib rakyat Palestin termasuk pengamal media.

"Ramai rakan sekerja saya sama ada wartawan, 'youtuber' dan 'blogger' di sana (Gaza) hilang keluarga sehingga ada di antara mereka kehilangan 16 ahli keluarga sekali gus.

"Mereka turut diugut dan diberi amaran semasa menjalankan tugas apa yang berlaku di Gaza. Bukan sahaja berdepan ugutan, malah mereka terpaksa berpindah rumah serta ahli keluarga dibunuh," katanya ketika ditemui semasa himpunan itu.

Beliau yang juga warga Palestin berkata, wartawan Barat yang membuat laporan di Gaza tidak sepatutnya hanya melaporkan propaganda rejim Zionis.

"Apa yang dipaparkan mereka tidak mencerminkan keseluruhan apa yang berlaku. Meskipun keluarga kecil saya mengikut saya tinggal di Malaysia sejak 12 tahun lalu, saya ada lagi keluarga besar di sana.

"Pastinya saya bimbang dengan keselamatan mereka dan berharap mereka kekal selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 2:19 PM