TINJAUAN orang ramai di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang mengambil mudah SOP ditetapkan kerajaan. FOTO Fathil Asri
TINJAUAN orang ramai di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang mengambil mudah SOP ditetapkan kerajaan. FOTO Fathil Asri
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk meningkatkan kadar denda bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pertubuhan Gerakan Transformasi Pengguna Malaysia (GTPM) membuat gesaan itu agar ia dapat mendisiplinkan masyarakat supaya tidak mengambil mudah dan sentiasa menjaga diri serta berada di luar rumah untuk urusan penting saja.

Pengerusi GTPM Azman Kang Abdullah berkata, walaupun peningkatan kes berlaku sejak dua hari lalu hanya di lokasi dan kluster tertentu, sampai masanya pihak berkuasa mengenakan denda lebih tinggi kepada mereka yang ingkar.

Katanya, cadangan itu dilihat praktikal biarpun akan mendapat reaksi pelbagai daripada semua pihak memandangkan masyarakat dilihat semakin alpa dengan pematuhan SOP.

"Sejak seminggu lalu, tinjauan kita di beberapa lokasi termasuk pasar raya, restoran serta kawasan tumpuan mendapati ada yang tidak mengikut SOP.

"Walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menggariskan pemakaian pelitup muka dan cecair pembasmi kuman, ada yang bersikap sambil lewa mengenainya.

"Jadi jumlah denda sedia ada daripada RM1,000 perlu dinaikkan, mungkin RM2,500 atau lebih," katanya kepada Harian Metro.

Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 memperuntukkan sesiapa yang disabitkan kesalahan di bawah undang-undang berkenaan akan didenda tidak lebih RM1,000 atau dipenjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Azman berkata, pihaknya juga mendapati ada pelanggan yang mengambil mudah soal daftar masuk ke premis dengan meletakkan nombor telefon palsu serta mendaftar dengan tulisan yang tidak dapat dibaca.

"Jika berlaku apa-apa, sudah pasti mereka yang mendaftar di buku ini tidak dapat dihubungi.

"Jadi GTPM minta kerajaan pertimbangkan cadangan ini demi kebaikan bersama." katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 9:25 PM