Tangkap layar skrin FB hasutan untuk memerintah Malaysia.
Tangkap layar skrin FB hasutan untuk memerintah Malaysia.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Pertubuhan Gerakan Transformasi Pengguna Malaysia (GTPM) menggesa pihak berkuasa menyiasat satu akaun Facebook (FB) dipercayai milik warga tempatan yang secara terbuka memuat naik hantaran meminta negara luar menyerang Malaysia.

Pengerusinya, Azman Kang Abdullah berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan muat naik dilakukan pemilik akaun FB menggunakan nama 'Mac Chan' itu hari ini.

Hantaran di FB itu susulan 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), Kota Kinabalu FIR dan menghampiri ruang udara nasional tiga hari lalu.

"Turut dikongsi dalam hantaran itu ialah hasutan untuk rakyat Malaysia, khususnya kaum Tionghua, untuk menyokong tindakan itu (China memerintah Malaysia).

"Tindakan seperti itu tidak dapat diterima sama sekali kerana ia jelas mempersoal kedaulatan negara," katanya hari ini.

Menurut Azman Kang, beliau sendiri tidak mengetahui apa tujuan sebenar hantaran itu tetapi ia jelas berbaur hasutan.

"Justeru, GTPM menggesa pihak berkuasa menyiasat perkara ini kerana ia satu tindakan biadap yang tidak boleh diterima sama sekali," katanya.

Selasa lalu, Putrajaya memaklumkan akan menghantar nota bantahan diplomatik kepada Beijing mengenai perkara itu.

Ia kerana pesawat berkenaan memasuki ruang udara ZMM dan menghampiri ruang udara nasional.

Penerbangan mencurigakan pesawat PLAAF itu dikesan Radar Pertahanan Udara TUDM dari Pusat Pertahanan Udara di Sarawak jam 11.53 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 5:54 PM