Azman Kang Abdullah
Azman Kang Abdullah
Oleh Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kerajaan digesa mengaktifkan Operasi Banteras Aktiviti Haram (Op Bah) yang pernah dilaksanakan Kementerian Wilayah Persekutuan sebelum ini ke seluruh negara bagi membendung aktiviti haram.

Ini kerana pembanterasan aktiviti tidak sihat seperti itu memerlukan kerjasama bersepadu beberapa pihak bagi memastikan ia berkesan.

Pengerusi Pertubuhan Gerakan Transformasi Pengguna Malaysia (GTPM) Azman Kang Abdullah berkata, operasi seperti itu terbukti berjaya mengurangkan aktiviti berkenaan seperti judi di ibu negara selama beberapa tahun ia diadakan.

"Dengan adanya kerjasama bersepadu daripada pihak berkuasa tempatan, polis dan badan bukan kerajaan, kegiatan seperti itu dapat dibanteras.

"Banyak premis ditutup dan ada yang tidak beroperasi lagi kerana bimbang digempur pihak berkuasa.

"Jadi pendekatan sama saya rasakan sesuai dilaksanakan di seluruh negara, tambahan pula selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai yang ingin mencari wang mudah termasuk dengan aktiviti haram," katanya.

Beliau berkata, pendekatan seperti itu mungkin sesuai dijalankan oleh semua pihak berkuasa tempatan terutama membabitkan bandar besar.

Katanya, tindakan bersepadu dengan agensi berwajib di setiap daerah berupaya memastikan tiada lagi aktiviti haram di semua kawasan.

"Jika tidak, ia akan berterusan dari satu generasi ke genarasi yang lain. Satu pihak menghabiskan duit, satu pihak lagi senang-lenang dengan aktiviti haram yang tidak menyumbang kepada ekonomi negara pun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Februari 2022 @ 3:37 PM