GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Tempoh bertenang sehingga lima tahun. Itu cadangan badan bukan kerajaan kepada pemilik rumah atau premis perniagaan yang berhasrat menjual hartanah mereka susulan bencana banjir yang melanda negara, baru-baru ini.

Bukan sahaja faktor cuaca tidak menentu, pasaran hartanah akan meluangkan masa yang lama untuk stabil kerana mengambil kira kelestarian alam sekitar serta faktor harga pasaran.

Pengerusi Pertubuhan Gerakan Transformasi Pengguna Malaysia (GTPM) Azman Kang Abdullah berkata, dengan kesan bencana yang belum dapat ditaksirkan jumlah kerugian sebenar setakat ini, tempoh lima tahun akan datang adalah waktu bertenang kepada semua pemilik rumah daripada sebarang aktiviti jual beli.

"Kita dengar di sana sini ada pemilik yang ingin menjual kediaman mereka kerana 'serik' dengan ujian banjir.

"Dari satu segi, memang ia keputusan jangka pendek, tetapi dengan harga yang mungkin terlalu rendah di bawah harga pasaran, perkara terbaik boleh dilakukan ialah tangguh dulu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azman berkata, sehingga kajian dilakukan pihak berwajib atau pun tindakan susulan diambil di kawasan banjir, pemilik rumah di tempat terjejas disaran supaya tidak menjual rumah milik mereka.

Katanya, ini kerana kemungkinan tiada pembeli sesuai yang sanggup membeli hartanah 'terkesan' yang berada di kawasan terdedah banjir.

Beliau mengulas laporan eksklusif Harian Metro mengenai banjir luar biasa yang menenggelamkan sebahagian besar kawasan di Lembah Klang terutama Selangor baru-baru ini bakal memberi kesan ketara kepada harga pasaran hartanah di lokasi terjejas untuk jangka pendek.

Azman berkata, bukan sahaja harga rumah, bencana banjir turut memberi kesan kepada kadar sewa di beberapa lokasi terjejas.

"Ini yang kita perlu bersedia. Sebelum ini ramai juga yang membeli rumah untuk disewa sebagai sebahagian daripada rancangan bagi mendapatkan pendapatan tambahan.

"Satu masa, kita berdepan dengan kadar sewa tinggi termasuk deposit utiliti 2+1 yang ada ketikanya membebankan terutamanya kepada pasangan yang baru sahaja berumahtangga. Semua itu mungkin berubah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 1:53 PM