Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Sindiket pengedaran dadah oleh Geng Cherokee tumpas, susulan penahanan lima lelaki tempatan dan seorang lelaki Indonesia dalam serbuan berasingan di sekitar ibu negara, sejak Khamis lalu.

Turut ditemui bersama mereka adalah 61.2 kilogram (kg) ganja bernilai RM154,250.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, kumpulan itu menjadikan kenderaan utiliti sukan (SUV) Jeep Grand Cherokee sebagai stor dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Namun katanya, hasil risikan dan maklumat membolehkan kegiatan sejak Ogos lalu itu dibanteras dengan serbuan pertama pada 3.50 petang Khamis di Taman Melawati di sini dan menahan seorang lelaki bersama lima ketulan mampat ganja seberat 5.1 kg.

"Siasatan lanjut kemudian menahan tiga lelaki dan seorang Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) warga Indonesia bersama 20 ketulan dadah seberat 20.5 kg di Kampung Baru, di sini pada 11 malam.

"Soal siasat ke atas mereka akhirnya menemui SUV Jeep Grand Cherokee di Kampung Baru yang menyimpan 35 lagi ketulan mampat ganja seberat 35.6 kg.

"Kita berjaya menahan seorang lelaki yang juga ketua sindiket itu berusia 57 tahun di kawasan terbabit pada 1.30 pagi Jumaat," katanya pada sidang media di Balai Polis Setiawangsa di sini, hari ini.

Rajab Ahad berkata, semua suspek ditahan berusia antara 42 hingga 57 tahun, dipercayai memperoleh bekalan dadah dari Thailand dan untuk dijual kepada tokan di Lembah Klang.

SAZALI (tengah) menunjukkan gambar barangan yang disita ketika sidang media di Kompleks Penguatkuasaan JKDM Sungai Pulai.  FOTO Izz Laily Hussein
SAZALI (tengah) menunjukkan gambar barangan yang disita ketika sidang media di Kompleks Penguatkuasaan JKDM Sungai Pulai. FOTO Izz Laily Hussein

Katanya, dengan sejumlah dadah itu, ia dipercayai untuk kegunaan 60,000 penagih.

"Ujian air kencing ke atas suspek mendapati mereka positif ganja dan methampetamine. Untuk itu mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga Khamis untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15 (1)(a) akta sama dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 4:47 PM