BERNAMA

Georgetown: Polis merampas 352 ketulan mampat ganja seberat 345.4 kilogram (kg) bernilai RM880,000 dan menahan dua lelaki dalam serbuan berasingan di Sungai Dua dan Butterworth dekat sini pada Isnin dan semalam.

Ketua Penolong Pengarah Narkotik ( Risikan / Perhubungan Antarabangsa) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Lukas Anak Aket berkata, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Kontinjen Pulau Pinang dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) Bridged Utara mendapat maklumat berhubung kegiatan pengedaran dadah di Pulau Pinang pada Isnin lalu.

"Ekoran maklumat diperoleh, pasukan kami mengekori sebuah kereta dipandu seorang lelaki sehingga Tol Sungai Dua, Butterworth di sini.

"Pemandu kereta itu yang menyedari diekori polis, bertindak memandu dalam keadaan berbahaya hingga mengancam keselamatan polis serta pengguna jalan raya yang lain.

"Pihak polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta dinaiki lelaki itu dan memintanya berhenti. Polis kemudian berjaya menahan pemandu kereta itu berumur 33 tahun itu di kawasan Plaza Tol Sungai Dua pada jam 9.45 pagi," katanya tadi.

Katanya, susulan penahanan lelaki itu, polis mengesan sebuah van diletakkan di kawasan parkir di Buttterworth di sini.

"Pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemui 352 ketulan mampat ganja seberat 345.4 kg bernilai hampir RM1 juta.

"Bertindak hasil maklumat, polis berjaya menahan seorang lagi lelaki berumur 27 tahun di kawasan Butterworth kelmarin yang dipercayai ada kaitan dengan sindiket dadah itu," katanya.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati sindiket itu menjadikan van berkenaan sebagai tempat mereka menyimpan semua ganja yang diseludup masuk dari negara jiran.

Katanya, polis juga tidak menolak kemungkinan sindiket itu mempunyai rangkaian di negara jiran dan pihaknya kini sedang mengesan dalang serta ahli sindiket pengedaran dadah berkenaan yang dipercayai turut berada di Pulau Pinang.

Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/Perhubungan Antarabangsa) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Lucas Anak Aket (tiga, kiri) bersama para pegawainya menunjukkan ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 342.4 KG bernilai RM880,000  selepas berjaya menahan dua lelaki di Butterworth dan Sungai Dua pada Isnin lepas dan semalam pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri hari ini.FOTO BERNAMA
Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/Perhubungan Antarabangsa) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Lucas Anak Aket (tiga, kiri) bersama para pegawainya menunjukkan ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 342.4 KG bernilai RM880,000 selepas berjaya menahan dua lelaki di Butterworth dan Sungai Dua pada Isnin lepas dan semalam pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri hari ini.FOTO BERNAMA

"Dua lelaki masing-masing mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah itu kini direman untuk siasatan lanjut serta kes disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Semua ganja dirampas itu boleh digunakan oleh 690,800 penagih dadah," katanya. - Bernama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 5:29 PM