GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Gombak: Terdesak memerlukan wang menyebabkan seorang wanita sanggup berlakon disamun ketika ingin memasukkan wang milik syarikat di sebuah bank di Rawang, di sini, Ahad lalu.

Malah, wanita berusia 25 tahun itu melakukan perbuatan itu bersama suami yang berusia 29 tahun dan dua rakan lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, wanita terbabit pada mulanya membuat laporan polis pada 6 petang menyatakan beg tangan miliknya disamun dua lelaki menaiki motosikal.

Menurutnya, dia mendakwa disamun ketika berjalan kaki seorang diri untuk memasukkan wang di sebuah bank berhampiran kawasan tempat kerjanya.

Katanya, wanita itu mendakwa kerugian RM6,788 termasuk RM6,288 milik syarikat yang diserahkan kepadanya untuk dimasukkan ke dalam akaun bank pada hari terbabit.

"Setelah laporan polis dibuat, wanita berkenaan tampil memberikan keterangan berkaitan kejadian.

"Siasatan lanjut kemudiannya berjaya membongkar sandiwara wanita terbabit yang membuat laporan palsu apabila siasatan mendapati kejadian samun beg tangan itu dirancang terlebih dahulu oleh wanita berkenaan bersama suami dan dua lagi rakan lelaki itu," katanya.

Arifai berkata, dia akhirnya mengakui terpaksa membuat laporan palsu untuk menggunakan wang milik syarikat kerana mengalami kesempitan wang untuk perbelanjaan harian.

"Dia kemudian ditahan dan soal siasat menahan suaminya di kawasan Bandar Sunway di mana hasil pemeriksaan menemui beg tangan dan barangan peribadi wanita itu yang tidak hilang.

"Wanita itu juga mengakui memasukkan sejumlah wang milik syarikat ke dalam akaun peribadi milik suami selain memberi upah kepada dua lagi suspek.

"Polis turut menahan seorang lagi suspek berusia 31 tahun, manakala seorang lagi sedang dikesan manakala tiga mereka direman lima hari sehingga Jumaat ini," katanya.

Beliau berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan pihaknya akan merujuk kes ini kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk pertuduhan.

"Pihak polis menegaskan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang ke atas individu yang membuat laporan palsu bagi kepentingan diri sendiri dan diharapkan ia menjadi pengajaran kepada orang ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 8:25 AM