GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Gombak: Bimbang perbuatan menjual barang kemas milik rakan terbongkar, remaja lelaki berusia 18 tahun membuat laporan palsu mendakwa disamun.

Tindakan remaja dari Kampung Selayang Indah, Batu Caves itu diketahui selepas polis menjalankan siasatan sebaik menerima laporan.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, polis menerima laporan daripada lelaki yang bekerja sebagai pencuci kereta terbabit semalam.

Menurutnya, dia mendakwa disamun empat lelaki menaiki dua motosikal ketika berjalan di padang berhampiran Taman Sri Selayang.

"Kejadian itu menyebabkan dia kehilangan telefon bimbit, MyKad, lesen memandu, wang tunai RM40 dan cincin serta gelang emas.

"Polis menjalankan soal siasat terhadapnya sebelum mengaku membuat laporan palsu. Kejadian samun itu tidak berlaku.

"Siasatan lanjut menemui dokumen diri, telefon bimbit dan sehelai surat pajak gadai tertulis nama pengadu dan wang tunai RM2,900," katanya dalam kenyataan hari ini.

Arifai berkata, remaja terbabit mendakwa membuat laporan palsu dengan niat mendapatkan wang dan mahu menipu rakan kerana barang kemas yang dijual milik rakannya itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 11:41 PM