Mahdzir Khalid (kiri) ketika memberi keterangan pada hari keempat perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek tenaga solar. FOTO NSTP
Mahdzir Khalid (kiri) ketika memberi keterangan pada hari keempat perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek tenaga solar. FOTO NSTP
BERNAMA

MAHKAMAH Tinggi di sini, semalam diberitahu bahawa arahan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya Surat Setuju Terima (SST) bagi projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion kepada Jepak Holdings Sdn Bhd, dikeluarkan dengan kadar segera tidak mengikut peraturan.

Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang memberi keterangan pada hari keempat perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek tenaga solar berkata demikian semasa menjawab soalan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Hakim Mohamed Zaini: Jadi, kamu tidak setuju arahan daripada PM (Najib) adalah mengikut peraturan?

Mahdzir: Ya.

Hakim itu mengemukakan soalan tersebut kepada Mahdzir selepas peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader bertanyakan soalan mengenai arahan Najib.

Terdahulu, saksi pendakwaan kelima itu memberitahu mahkamah bahawa beliau menerima arahan tersebut daripada Najib yang membuat catatan minit kepada surat Jepak Holdings bertarikh 6 November 2016.

“PM (merujuk kepada Najib) beri arahan dan kita hanya ikut arahan PM. Dalam surat itu, PM mengarahkan saya supaya ‘Sila keluarkan SST untuk projek berdasarkan surat Jepak Holdings dengan kadar segera’,” katanya ketika pemeriksaan balas oleh Jagjit.

Ditanya Jagjit sama ada Kementerian Pendidikan perlu mengikut prosedur yang ditetapkan dalam urusan projek solar hibrid kepada Jepak Holdings, Mahdzir menjawab: Ya.

Jagjit: Walaupun Najib beri arahan, tetapi pihak kementerian kena ikut prosedur yang ditetapkan.

Mahdzir: Saya hanya ikut arahan PM.

Kepada soalan Jagjit, Mahdzir turut menegaskan bahawa beliau mengikut peraturan yang diarahkan oleh Najib, selaku perdana menteri ketika itu.

Seorang lagi peguam Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader turut bertanyakan kepada Mahdzir bahawa arahan dikeluarkan Najib itu tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan dan saksi itu menjawab, tidak bersetuju.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram kemudiannya mencelah, “Dia (Mahdzir) sudah menjelaskan, dia kata dia hanya mengikut arahan PM.”

Sementara itu, Mahdzir juga tidak bersetuju dengan cadangan Jagjit bahawa dia hanya mereka-reka keterangannya yang diberikan di mahkamah kerana terdapat tawar-menawar dengan pihak pendakwaan dan Peguam Negara supaya tidak mendakwanya ke mahkamah atas tuduhan rasuah.

Beliau juga menolak cadangan peguam itu bahawa beliau bersetuju menerima wang RM60 juta sebagai balasan mempercepatkan proses kelulusan projek solar hibrid itu kepada Jepak Holdings.

Rosmah, 68, berdepan satu tuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin, Pengarah Urusan Jepak Holdings, menerusi bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dan 7 September, 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini bersambung hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 7:10 AM