G DAYALAN mengaku tidak bersalah. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
G DAYALAN mengaku tidak bersalah. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Seorang Pembantu Anti Dadah di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuantan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan cuba memperoleh suapan wang tunai RM500 pada 16 Februari tahun lalu.

Tertuduh, G Dayalan, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut kertas pertuduhan, Dayalan sebagai ejen kerajaan didakwa secara rasuah cuba memperoleh suapan iaitu wang tunai daripada Eng Boon Keong sebanyak RM500 di sebuah restoran, di sini pada 1 petang, 16 Februari tahun lalu.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk mengeluarkan nama Eng daripada senarai nama orang yang dikehendaki oleh AADK Kuantan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seskyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seskyen 24 Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika kesalahan itu dapat dinilai atau berbentuk wang tunai atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Siti Sarah Zainal Abiddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Siti Sarah memohon tertuduh dikenakan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya memohon jaminan dikurangkan kerana mengalami masalah kesihatan dan masih mempunyai tanggungan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dan menetapkan 15 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

KUANTAN 15 SEPTEMBER 2020. Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan, G. Dayalan, dibawa ke mahkamah sesyen atas tuduhan menerima suapan atas dorongan mengeluarkan nama individu, daripada senarai orang dikehendaki pada tahun lalu, di Komplek Mahkamah Indera Mahkota. KHIS/FARIZUL HAFIZ AWANG

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 2:18 PM