Seorang buruh pembinaan warga Myanmar, Zainal Hussein Shuna Ali 25, mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan memberi suapan kepada pegawai polis pada minggu lalu, di Kompleks Mahkamah Indera Mahkota. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Seorang buruh pembinaan warga Myanmar, Zainal Hussein Shuna Ali 25, mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan memberi suapan kepada pegawai polis pada minggu lalu, di Kompleks Mahkamah Indera Mahkota. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Asrol Awang


BURUH warga Myanmar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini atas tuduhan memberi suapan wang tunai RM3,000 kepada seorang anggota polis pada 19 Ogos lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Zainal Hussein Shuna Ali, 25 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Pertuduhan dibacakan seorang penterjemah dalam bahasa Myanmar.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa secara rasuah memberi suapan wang tunai RM3,000 kepada Sarjan Mohd Shahrul Ashraf Shakri di bilik pintu 3, tingkat 2 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada 12 tengah hari, 19 Ogos lalu.

Suapan itu sebagai dorongan bagi melepaskan isterinya yang ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Siti Sarah Zainal Abiddin tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh kerana memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Zainal Hussein diwakili peguam, Datuk Zaharman Zainal Abidin.

Mahkamah menetapkan 24 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 1:01 PM