NGA (kiri) mengaku bersalah memberi suapan kepada anggota polis di Rompin di Kompleks Mahkamah Indera Mahkota, Kuantan. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
NGA (kiri) mengaku bersalah memberi suapan kepada anggota polis di Rompin di Kompleks Mahkamah Indera Mahkota, Kuantan. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Seorang wanita warga Vietnam yang menawarkan 'duit kopi' RM50 kepada seorang anggota polis trafik dipenjara sehari dan didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, Le Thi To Nga, 40, dijatuhi hukuman itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Mohd Ghazali berkata, jika gagal menjelaskan denda, wanita Vietnam yang bekerja sebagai pembantu kedai makan boleh dipenjara sebulan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menawarkan suapan iaitu wang tunai RM50 kepada Koperal Mohd Zarul Hafiz Ahzar @ Mohd Azar daripada Cawangan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin di Jalan Utama Rompin, Rompin, pada jam 12 tengah hari, Isnin lalu.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan kepada anggota polis berkenaan untuk tidak mengeluarkan saman kerana tertuduh melakukan kesalahan menunggang motosikal dengan mengabaikan isyarat lalu lintas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Nga yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah melalui jurubahasa yang dia merayu hukuman terhadapnya diringankan atas alasan hanya memperoleh gaji RM30 sehari.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Siti Sarah Zainal Abiddin.

Mengikut fakta kes, wanita Vietnam itu disaman kerana mengabaikan isyarat lalu lintas mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tertuduh diberikan amaran beberapa kali oleh Mohd Zarul Hafiz supaya menyimpan wang itu tetapi berdegil sebelum ditahan kerana cuba menawarkan wang dengan menyatakan duit kopi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 4:43 PM