KEADAAN kapal kargo yang hampir karam. (Gambar kanan) Mangsa menjadi ujian saringan Covid-19. FOTO ihsan APMM
KEADAAN kapal kargo yang hampir karam. (Gambar kanan) Mangsa menjadi ujian saringan Covid-19. FOTO ihsan APMM
Erika George


Bintulu: Lapan kru warga Indonesia nyaris maut selepas kapal kargo dinaiki mereka hampir karam akibat dilanda ribut kuat di perairan negara, pagi tadi.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil berkata, mangsa yang berusia antara 20 hingga 71 tahun terkandas hampir satu jam dalam kapal sebelum diselamatkan pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Cawangan Bintulu pada 11 pagi.

"Dalam insiden 9.30 pagi itu, kapal kargo terbabit dilanda ribut kuat hingga menyebabkannya hampir karam," katanya hari ini,

Effendy berkata, sejurus Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu menerima laporan berhubung kejadian, dua kapal APMM Cawangan Bintulu iaitu Kapal Maritim (KM) Jepak dan Bot Kilat 44 digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 17 batu nautika dari Pelabuhan Bintulu.

Beliau berkata, sampai di lokasi kejadian, pasukan APMM Bintulu mendapati semua mangsa sudah keluar dari kapal terbabit selepas menyedari kapal kargo berkenaan hampir karam.

"Operasi turut mendapat bantuan bot nelayan tempatan yang berada di lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata, semua mangsa akan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak berwajib untuk tindakan seterusnya.

Menurutnya, sebarang kemalangan atau aktiviti yang melanggar undang-undang perairan negara boleh disalurkan terus ke talian MERS 999, Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak (082-432544) atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2020 @ 6:08 PM