Nelayan Vietnam yang ditahan pasukan APMM Cawangan Bintulu ketika merompak hasil laut negara. FOTO ERIKA GEORGE
Nelayan Vietnam yang ditahan pasukan APMM Cawangan Bintulu ketika merompak hasil laut negara. FOTO ERIKA GEORGE
Erika George


Bintulu: 18 nelayan Vietnam yang sedang leka merompak 15 tan hasil ikan dianggarkan bernilai RM1 juta di perairan negara ditahan pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Cawangan Bintulu, pagi semalam.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil dalam kenyataannya hari ini berkata, semasa menjalankan rondaan di perairan negara jam 10 pagi, pihaknya mengesan kehadiran kapal dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan 132 batu nautika dari barat laut muara Sungai Kemena.

"Sebaik menghampiri kapal nelayan itu, mereka cuba meloloskan diri menghala ke perairan antarabangsa sebelum dikejar Kapal Maritim Tabah. Pintasan dapat dilakukan selepas dua jam," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas kapal terbabit mendapati kesemua 18 kru termasuk tekong kapal berusia 20 hinggga 46 tahun itu tidak memiliki sebarang identiti pengenalan diri yang sah.

Katanya, penggeledahan dijalankan menemukan hasil laut dianggarkan seberat 15 tan.

"Hasil semakan dijalankan mendapati kapal terbabit tidak memiliki sebarang dokumen serta lesen dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan sebarang aktiviti menangkap ikan di perairan negara," katanya.

Effendy berkata, kapal terbabit termasuk tekong dan kru kapal diiringi menuju ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 4:18 PM