ADUN  Kempas, Datuk Osman Sapian. FOTO Arkib NSTP
ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas, Datuk Osman Sapian meminta semua pihak bersabar sebelum membuat apa-apa spekulasi mengenai keahliannya bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Osman yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, beliau tidak dapat memberi ulasan lanjut berikutan tidak dimaklumkan secara rasmi apa jua keputusan parti setakat ini.

"Sabar dulu. Belum ada apa-apa surat rasmi lagi.

"Saya masih ahli Bersatu sehingga kini. Walau pada mulanya ada yang kata keahlian saya terlucut, namun tidak lama selepas itu kata saya masih ahli Bersatu lagi pula, " katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Lembaga Disiplin Bersatu dilaporkan hari ini melucutkan keahlian Osman yang juga Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam susulan tindakannya yang didakwa membantu kempen calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Slim, baru-baru ini.

Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas, dilaporkan berkata Adun Kempas itu tidak perlu didakwa di depan Lembaga Disiplin parti atas tindakannya itu.

Namun dalam satu perkembangan terkini tadi, Lembaga Disiplin Bersatu memutuskan keahlian Osman, kekal sebagai ahli parti itu.

Megat Najmuddin dilaporkan berkata, pihaknya akan memanggil bekas Menteri Besar Johor itu bagi menjawab tuduhan berhubung dakwaan membantu kempen calon Bebas pada PRK Dun Slim baru-baru ini.

Penjelasan itu dibuat selepas laporan media awal hari ini, memetik Megat Najmuddin sebagai berkata, keahlian Osman terhenti secara automatik selepas didapati melanggar Perkara 10.2.3 perlembagaan parti iaitu membantu kempen parti lawan.

Terdapat 56 kerusi di Dun Johor dengan agihan terkininya adalah Umno dan Dap masing-masing 14, Bersatu (12), MIC (dua), Pas (satu), sementara Amanah (9) dan PKR pula (empat).

Ia menjadikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) setakat ini mempunyai 29 kerusi berbanding Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi manakala majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu di Johor ialah 29 kerusi.

Polemik politik membabitkan Osman yang juga Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam tercetus apabila satu video menunjukkan Osman berucap dipercayai berkempen menyokong calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi ketika PRK Dun Slim, tular sejak Sabtu lalu.

Dalam video itu, Osman mengakui masih menjadi Adun Kempas atas tiket Bersatu dan masih menjadi ahli parti berkenaan, namun mendakwa parti itu menyeleweng daripada perjuangan asalnya.

Rentetan itu, Bersatu Bahagian Pulai, dilaporkan akan membuat aduan rasmi kepada Lembaga Disiplin parti berhubung tindakan Osman itu yang dijangka akan dihantar minggu depan.

Namun Rabu lalu, Osman dilaporkan berkata, beliau menyerahkan kepada kepemimpinan Bersatu tentang nasibnya bersama parti itu namun mengakui masih menyayangi Bersatu berikutan sudah berjuang bersama parti berkenaan sejak ia tidak mempunyai apa-apa.

Sementara itu, Osman berkata, beliau juga masih belum dimaklumkan mengenai tindakan Lembaga Disiplin Bersatu yang mahu memanggilnya bagi menjawab tuduhan berhubung dakwaan membantu kempen calon Bebas pada PRK Dun Slim baru-baru ini.

"Saya belum dapat apa-apa lagi surat atau maklumat, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2020 @ 5:19 PM