OSMAN. FOTO arkib NSTP
OSMAN. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pulai membuat aduan rasmi kepada Lembaga Disiplin parti berhubung tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas, Datuk Osman Sapian membantu kempen calon bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim, baru-baru ini.

Ketua Bahagian Bersatu Pulai, Ya'cob Atan berkata, aduan rasmi akan dihantar minggu depan selepas mengadakan mesyuarat bahagian berkenaan pada Khamis ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Bersatu Johor berkata, tindakan Osman yang juga Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam itu mengkhianati kepercayaan ahli parti bukan saja di kawasan Kempas dan Ayer Hitam malah di seluruh negara.

"Tindakan Osman yang juga bekas Menteri Besar Johor berkempen dan menyatakan sokongan kepada calon bebas pada PRK Slim sekali gus menunjukkan penentangan terhadap parti serta calon yang disokong parti pada pilihan raya kecil berkenaan.

"Kami akan menghantar aduan rasmi minggu depan berikutan Bahagian Pulai adalah di dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Kempas dan amat terkesan dengan tindakan berkenaan.

"Mengikut Fasal 10.2.2 dan Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu, tindakan penentangan terhadap parti boleh menyebabkan keahlian mereka gugur serta-merta seperti mana yang berlaku terhadap Tun Mahathir Mohamad dan empat ahli Bersatu yang lain," katanya selepas melancarkan Konvoi Semarak Kemerdekaan ke-63, hari ini.

Kelmarin, tular satu video, Osman yang sedang berucap dipercayai berkempen menyokong calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi ketika PRK Dun Slim.

Dalam video itu, Osman mengakui masih menjadi Adun Kempas atas tiket Bersatu dan masih menjadi ahli parti berkenaan, namun mendakwa parti itu menyeleweng daripada perjuangan asalnya.

Sebelum ini, Osman mendakwa kehadirannya ke Slim, Perak hanya mahu bertemu rakan-rakan lama sambil makan angin dan menegaskan tindakannya itu tiada kaitan dengan politik.

Mengulas lanjut, Ya'cob berkata, terpulang kepada Lembaga Disiplin parti untuk membuat siasatan dan tindakan yang sewajarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 11:55 AM