Osman Sapian.
Osman Sapian.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian menegaskan beliau hanya memenuhi jemputan rakan lama yang mahu meraikannya.

Ia susulan tular video dan gambar Osman yang juga bekas Menteri Besar yang didakwa hadir hadir dalam acara Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Johor, malam semalam.

"Saya pergi kerana memenuhi jemputan kawan-kawan lama yang kebanyakannya juga adalah ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

"Mereka mahu tahu kedudukan sebenar saya di dalam BERSATU dan simpati dengan saya. Mereka ucap terima kasih kerana bersama mereka di Slim baru-baru ini dan mereka belanja makan. Itu saja, " katanya ketika dihubungi.

Semalam, Osman yang juga Ketua Bahagian BERSATU Ayer Hitam didakwa hadir dalam acara PEJUANG, tiga hari selepas Lembaga Disiplin BERSATU dilaporkan mengesahkan beliau masih menjadi anggota parti itu.

Video dan gambar yang tular itu antara lain memaparkan Osman berucap, bergambar dan makan malam bersama kumpulan yang didakwa ahli PEJUANG Johor.

Sebelum ini, penularan video memaparkan Osman yang dipercayai sedang berucap dalam kempen calon Bebas di Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim menimbulkan polemik politik.

Bagaimanapun, Osman mendakwa kehadirannya ketika itu sekadar bertemu rakan lama dan tiada kaitan dengan politik.

DUN Johor memiliki 56 kerusi dengan ketika ini PN menguasai 29 kerusi dan pembangkang, 27 kerusi.

Pecahan 29 kerusi PN iaitu 14 dimiliki UMNO, BERSATU (12), dua MIC dan satu PAS, manakala blok PH disumbang 14 kerusi melalui DAP, sembilan milik Parti Amanah Negara (AMANAH) dan empat PKR.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2020 @ 8:05 PM