OSMAN. FOTO Arkib NSTP
OSMAN. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


TINDAKAN tegas termasuk memecat keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas, Datuk Osman Sapian daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal memberi implikasi besar terhadap politik negeri ini.

Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, ia termasuk menjerumuskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor ke dalam kemelut politik baharu jika Osman yang juga bekas Menteri Besar Johor akhirnya nanti memutuskan menyertai blok pembangkang, berbanding menjadi Adun Bebas.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkata, kedudukan tipis kerajaan PN Johor dengan 29 kerusi dan pembangkang pula 27 kerusi di Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor, memerlukan sebarang tindakan yang mahu diambil perlu difikirkan secara mendalam kesan dan akibatnya.

"Inilah antara implikasi kalau berlaku jika tindakan tegas termasuk memecat Osman daripada Bersatu, PN mungkin hilang kerajaan Johor.

"Dilemanya, jika tiada sebarang tindakan diambil terhadap Osman, Bersatu bakal dituduh lemah dan akan menyebabkan parti itu berantakan, dikecam oleh ahli parti tidak berpuas hati selain rakan di dalam PN sendiri.

"Namun jika diambil tindakan termasuk memecat Osman pula, PN akan hilang Johor, jika beliau akhirnya memilih menyertai blok pembangkang.

"Ini kerana jika Osman menyertai pembangkang, PN dan Pakatan Harapan (PH) akan terikat dengan 28 kerusi menjadikan kerajaan Johor tergantung yang memungkinkan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad memohon perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar untuk membubarkan Dun Johor dan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN), " katanya ketika dihubungi.

Polemik politik membabitkan Osman yang juga Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam tercetus apabila satu video beliau berucap dipercayai berkempen menyokong calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Slim, tular sejak Sabtu lalu.

Dalam video itu, Osman mengakui masih menjadi Adun Kempas atas tiket Bersatu dan masih menjadi ahli parti berkenaan, namun mendakwa parti itu menyeleweng daripada perjuangan asalnya.

Rentetan itu, Bersatu Bahagian Pulai, dilaporkan akan membuat aduan rasmi kepada Lembaga Disiplin parti berhubung tindakan Osman itu, yang dijangka akan dihantar minggu depan.

Namun semalam, Osman dilaporkan berkata, beliau menyerahkan kepada kepemimpinan Bersatu tentang nasibnya bersama parti itu namun mengakui masih menyayangi parti itu berikutan sudah berjuang bersama parti berkenaan sejak ia tidak mempunyai apa-apa.

Terdapat 56 kerusi di Dun Johor dengan agihan terkininya adalah Umno dan DAP masing-masing 14, Bersatu (12), MIC (dua), Pas (satu), sementara Amanah (9) dan PKR pula (empat).

Ia menjadikan kerajaan PN mempunyai 29 kerusi berbanding PH 27 kerusi manakala majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu di Johor ialah 29 kerusi.

Sementara itu, Mujibu berkata, jika berlaku PRN, PN Johor tidak boleh terlalu selesa kerana pembangkang terutama DAP, PKR dan Amanah masih mempunyai pengaruh di negeri ini terutama di kawasan pekan dan bandar.

"Cabaran besar menanti PN Johor jika berlaku PRN. Namun sudah tentu Bersatu bakal hilang banyak kerusi disebabkan mood semasa yang memihak Umno dan PAS yang membentuk Muafakat Nasional (MN)," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika Osman hanya diberikan amaran berikutan kedudukannya sebagai pemimpin utama Bersatu Johor yang mempunyai pengikut ramai.

"Barangkali hanya amaran keras yang dikenakan sebab yang dibantu Osman ketika PRK Slim masih secara literalnya adalah calon Bebas, bukan calon rasmi daripada parti Pejuang.

"Namun jika Bersatu ternyata mahu mengambil tindakan lebih keras termasuk memecatnya, saya menjangkakan Osman akan keluar dari parti secara terhormat berbanding tindakan diambil Lembaga Disiplin, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 5:47 PM