OSMAN Sapian. FOTO arkib NSTP
OSMAN Sapian. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


BEKAS Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian menyerahkan kepada kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengenai nasibnya bersama parti itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas itu berkata, beliau masih menyayangi Bersatu berikutan sudah berjuang bersama parti berkenaan sejak ia tidak mempunyai apa-apa.

"Saya serahkan kepada kepimpinan untuk buat keputusan. Mereka berkuasa.

"Saya ahli parti. Saya akan terima apa parti nak buat pada saya. Sebelum ini parti melantik saya jadi Menteri Besar, saya terima dan jalankan tugas. Jadi kalau parti nak ambil apa-apa tindakan, saya akan terima.

"Namun, tentulah saya masih sayang Bersatu. Saya antara yang mula-mula memperjuangkan Bersatu di Johor dari tidak ada orang, tubuhkan cawangan, bahagian.

"Korban masa, tenaga bahkan wang ringgit sekali pun kerana ketika itu Bersatu tidak punya apa-apa," katanya ketika ditemui di Pontian, hari ini.

Semalam, Bersatu Bahagian Pulai dilaporkan akan membuat aduan rasmi kepada Lembaga Disiplin parti berhubung tindakan Osman membantu kempen calon bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim, baru-baru ini.

Ketua Bahagian Bersatu Pulai, Ya'cob Atan dilaporkan berkata, aduan rasmi akan dihantar minggu depan selepas pihaknya mengadakan mesyuarat bahagian pada Khamis ini.

Ditanya mengenai kemungkinan tindakan tegas akan diambil terhadapnya termasuk dipecat dari Bersatu, Osman yang juga Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam berkata, beliau bersedia menerima apa saja kemungkinan.

"Saya masih ahli Bersatu melainkan sebelum 10 September ini (Sidang Dewan Undangan Negeri) saya dipecat dari parti, maka saya akan duduk di kerusi Bebas pula.

"Namun, jika tidak (dipecat), kerusi saya pada sidang Dun Johor minggu depan masih lagi di sebelah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Adun Gambir," katanya.

Beliau berkata, jika kepimpinan parti mengambil keputusan memecatnya, beliau masih tidak tahu tindakannya selepas ini.

"Sama ada nak sertai parti lain selepas itu, saya masih tidak tahu. Wallahualam," katanya.

Ditanya mengenai video tular dirinya berkempen menyokong calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi ketika PRK Dun Slim baru-baru ini, beliau mengakui berbuat demikian.

"Salah ke tindakan saya berkempen untuk calon Bebas sedangkan Bersatu, belum diterima secara rasmi masuk ke dalam Muafakat Nasional (MN).

"Mana tahu selepas ini Amir Khusyairi terbuka menyertai Bersatu pula, " katanya.

Berita berkaitan

Bersatu Bahagian Pulai buat aduan terhadap Osman

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 5:26 PM