LALUAN kenderaan dan pokok  ditebang yang dikesan masih baru di kawasan hutan berhampiran sempadan negara. FOTO Zuliaty Zulkiffli
LALUAN kenderaan dan pokok ditebang yang dikesan masih baru di kawasan hutan berhampiran sempadan negara. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Bukit Kayu Hitam: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 18 mengesan cubaan untuk menyeludup daun ketum ke negara jiran, semalam berikutan terdapat kesan kenderaan dan pokok ditebang.

Tinjaun hari ini mendapati, kesan pokok yang ditebang itu masih baru dan kesan laluan kenderaan dari arah semak menuju ke pagar sempadan jelas kelihatan.

Selain itu, terdapat pagar yang dipotong dipercayai menjadi laluan penyeludup untuk membawa masuk barangan terlarang ke negara jiran, Thailand.

Pegawai Pemerintah Batalion 18, PGA Pengkalan Hulu Perak, Superintendan Abd Razak Md Din berkata, pihaknya berjaya mengesan lebih 20 lubang tikus di kawasan pagar sempadan yang dipercayai dipotong.

"Cubaan nak seludup memang ada. Nampak kesan kenderaan seperti pacuan empat roda di kawasan ini tetapi anggota kita berkawal di sini sepanjang masa.

"Biasanya kalau dah boleh masuk kenderaan dalam kawasan hutan ini, mereka mungkin nak seludup daun ketum kerana sekarang permintaan tinggi di negara jiran.

"Bagaimanapun, saya sudah mengarahkan anggota supaya mengawal semua laluan tikus di sepanjang kawasan sempadan dari Bukit Kayu Hitam termasuk di kawasan pesisir pantai di Batu Putih, Perlis," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Selain itu, terdapat beberapa kawat duri di kawasan sempadan dipercayai dipotong terutama di sepanjang laluan ke Padang Besar di Perlis.

Abd Razak berkata, pihaknya akan mempertingkatkan kawalan dan rondaan di pagar sempadan negara 24 jam kerana penyeludup sentiasa mencari ruang untuk menyeludup.

Beliau berkata, berdasarkan modus operandi yang dilakukan sebelum ini, mereka akan tinggalkan timbunan guni yang berisi daun ketum di dalam hutan berhampiran kawasan pagar sempadan, dan akan menyeludup satu persatu guni menerusi pagar yang dipotong.

"Penyeludup akan perhatikan gerak geri anggota kami dari jauh dan cari ruang terutama bila nak menjelang malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2020 @ 12:11 PM