Zuliaty Zulkiffli


Bukit Kayu Hitam: Harga pasaran tinggi serta banyak permintaan di negara jiran menyebabkan kegiatan penyeludupan daun ketum semakin aktif.

Ini terbukti apabila anggota Batalion 2, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim merampas lebih 7.9 tan daun ketum bernilai RM239,010 sepanjang Op Benteng Covid sempadan darat dan pesisir pantai di Kedah dan Perlis sepanjang bulan lalu, selepas mengambil alih penugasan daripada Batalion 3, Bidor, Perak, 1 Ogos lalu.

Kejayaan itu membabitkan rampasan 5,697 kilogram daun ketum di kawasan sempadan darat Malaysia-Thailand manakala 2,270kg dirampas di pesisir pantai di Kuala Perlis.

Pegawai Pemerintah Batalion 2, Superintendan Md Dali Jamil berkata, hasil rampasan itu, pihaknya menahan 11 individu warga tempatan dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan daun ketum mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

"Kami percaya peningkatan itu mungkin disebabkan larangan kerajaan Thailand terhadap penggunaan daun ketum di negara itu ditarik balik.

"Harga pasaran daun ketum di negara itu lebih RM100 sekilo berbanding pasaran tempatan RM30 sekilo menyebabkan ramai dalam kalangan rakyat tempatan sanggup menyeludup," katanya pada sidang media di Martak Taktikal Briged PGA Utara di Bukit Kayu Hitam, di sini, hari ini.

Terdahulu, Md Dali menyerahkan tugasnya kepada Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu, Deputi Superintendan Mohd Sail Hassan yang disaksikan Pegawai Pemerintah Batalion 3, Superintendan Azhar Hashim.

Md Dali berkata, rampasan lain termasuk tiga kenderaan iaitu dua Mitsubishi Pajero dan pikap Nissan Navara, 19 motosikal, lima telefon bimbit, lima liter air ketum, tong ais, wang tunai RM756 dan empat bot bersama enjin yang keseluruhannya bernilai RM458,691 termasuk rampasan daun ketum.

Menurutnya, taktik sering digunakan penyeludup dari negara ini adalah berlari membawa guni berisi daun ketum di dalam belukar sebelum membuangnya ke pagar di sebelah Thailand.

Katanya, tangkapan pada Ogos lalu banyak menunjukkan permintaan tinggi dari sana dan pada masa sama, pihaknya akan kerap melakukan rondaan untuk pastikan sempadan tidak diceroboh.

"Statistik tangkapan untuk Ogos adalah 35 tangkapan iaitu 33 individu membabitkan pendatang tanpa izin (Pati) dan daun ketum.

"Tangkapan terbaru Pati dilakukan pada 7.20 malam tadi membabitkan 15 warga Myanmar termasuk tekong darat yang cuba menyeludup masuk ke negara ini berhampiran Ladang Laka Temin.

"Kami akan meningkatkan rondaan terutama di lorong tikus di kawasan pagar sempadan negara bagi menghalang kemasukan Pati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 4:44 PM
Md Dali menunjukkan daun ketum yang dirampas bersama motosikal dan kenderaan yang digunakan penyeludup dalam Op Benteng Covid di sempadan Malaysia-Thailand. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Md Dali menunjukkan daun ketum yang dirampas bersama motosikal dan kenderaan yang digunakan penyeludup dalam Op Benteng Covid di sempadan Malaysia-Thailand. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI