MD DALI (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan daun ketum yang dirampas dalam OP Benteng Covid Ogos di pagar keselamatan sempadan Malaysia-Thailand. FOTO AMRAN HAMID
MD DALI (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan daun ketum yang dirampas dalam OP Benteng Covid Ogos di pagar keselamatan sempadan Malaysia-Thailand. FOTO AMRAN HAMID
Zuliaty Zulkiffli


PASUKAN Gerakan Am (PGA) merampas 63 tan daun ketum bernilai lebih RM3 juta yang cuba diseludup ke negara jiran dalam tempoh lapan bulan sejak Januari hingga hari ini.

Pegawai Pemerintah Batalion 2 PGA Kulim, Superintendan Md Dali Jamil berkata, rampasan itu dilakukan hasil penugasan bergilir-gilir semua batalion di sempadan Malaysia-Thailand dari Bukit Kayu Hitam ke Perlis.

Menurutnya, pihaknya juga mengesan modus operandi terbaru penyeludup apabila menggunakan laluan pantai dengan bot untuk menyeludup daun ketum berkenaan ke Thailand.

"Harga pasaran daun ketum yang tinggi di negara jiran menyebabkan penyeludup sanggup melakukan pelbagai cara untuk menyeludup.

"Bagaimanapun, ketangkasan anggota PGA berjaya merampas daun ketum berkenaan termasuk di laluan pagar keselamatan sempadan negara," katanya pada sidang media di Markas Taktikal PGA Briged Utara di Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Terdahulu, Md Dali menyerahkan penugasan Op Benteng Covid (Kawalan Keselamatan Sempadan Darat Malaysia Thailand dan pesisir pantai Batu Putih/Kuala Perlis dan Kurung Tengar) kepada Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu, Superintendan Abd Razak Md Din, hari ini.

Batalion 2 PGA menjalankan penugasan menjaga Op Benteng di sempadan selama sebulan bermula 3 Ogos lalu sebelum menyerahkan tugas itu kepada PGA Batalion 18.

Md Dali berkata, sepanjang penugasan Batalion 2 PGA Kulim pada bulan lalu, sebanyak 11.6 tan daun ketum bernilai RM348,930 berjaya dirampas.

Katanya, pihaknya turut merampas tujuh kereta, 19 motosikal dan sebuah bot kayu serta enjin disita.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 5:06 PM