FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

PENYELIA kapal dihukum penjara sehari dan denda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri pelbagai perkakas dapur di pusat beli-belah Ikea, semalam.

Majistret Mohamed Fared Abdul Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap Saadah Mat Husin @ Mat Husain, 36, dan turut memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa mencuri pelbagai perkakas dapur antaranya pisau, garpu, sudu dan cawan yang kesemuanya bernilai RM515.30 milik syarikat Ikea.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ikea Cheras, Jalan Cochrane pada 11.10 pagi, 24 Ogos mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran tetapi peguam Muhammad Rhastdan Abdul Wahab yang mewakili Saadah memohon hukuman ringan dengan alasan itu kesalahan pertama anak guamnya.

"Tertuduh juga adalah seorang ibu kepada empat anak dan suaminya adalah pemandu Grab," kata peguam itu.

Mengikut fakta kes pada hari kejadian, tertuduh ditahan pengawal keselamatan di pusat beli-belah itu selepas gagal membuat pembayaran terhadap 16 barang dalam beg hitam yang diletakkan dalam troli dan dia kemudiannya ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, seorang mekanik Muhamad Firdaus Muhammad Shafiee, 24, didenda RM1,000 atau penjara sebulan oleh Majistret Wong Chai Sia selepas mengaku bersalah menyamar sebagai anggota polis, 21 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Polis Wangsa Maju, pada 5.06 petang, 21 Ogos lalu mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran manakala Muhamad Firdaus yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan isterinya sedang mengandung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2020 @ 7:16 PM