FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Nor Azura Abdul Jalil


TINDAKAN seorang lelaki mengaibkan kehormatan kenalan wanitanya di laman sosial Instagram (IG) mengundang padah apabila dijatuhi hukuman denda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ampang, hari ini.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Nadzreekusairi Shariff, 37, selepas tertuduh mengaku salah sebaik tuduhan dibacakan kepadanya.

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda diperintahkan. Tertuduh membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Nadreenkusairi didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 37 tahun hingga menganggu kesantunan mangsa dengan memuat naik kenyataan (posting) di Instagram gambar anak mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Jalan Pandan Indah, Ampang antara 29 hingga 30 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Intan Syakieraah Zakaria manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh memohon mahkamah mengenakan denda yang ringan dengan alasan hanya bekerja sendiri.

Nur Intan Syakieraah bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran supaya tertuduh lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 3:50 PM