Datuk Takiyuddin Hassan. Foto NSTP
Datuk Takiyuddin Hassan. Foto NSTP
Hazira Ahmad Zaidi

PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah membalas surat jemputan dan menyatakan kesudian parti itu menyertai Muafakat Nasional (MN).

Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sebagaimana yang disahkan, kedua-dua Presiden Pas dan Umno sudah membuat surat jemputan kepada Muhyiddin dan mengesahkan surat berkenaan sudah dijawab sendiri oleh beliau.

"Bagaimanapun, pihak kami belum sempat mengadakan persidangan dan mungkin mesyuarat bersama ketiga-tiga parti akan diadakan dalam masa terdekat.

"Sekarang ini, kita secara tidak rasmi sudah adakan perbincangan terutamanya untuk membincangkan mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah memandangkan di sana ada Umno, Pas dan Bersatu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media dalam sidang media selepas merasmikan Skim Bantuan Pelajar Parlimen Kota Bharu di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) di Kota Bharu hari ini.

Takiyuddin berkata, Perikatan Nasional (PN) dan MN masih belum didaftarkan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"PN baharu didaftar dan di peringkat penajaan, kita bukan menyertai tetapi untuk tubuhkan satu parti perlu ada penaja dan Pas adalah salah satu daripada penaja, namun ia belum secara rasminya lagi siapa dalam PN.

"Satu-satu pakatan itu boleh didaftarkan atau tidak, tetapi jika untuk tujuan menyertai pilihan raya, ia perlu didaftarkan.

"Kalau tidak, tak boleh pakai logo macam Pakatan Harapan (PH).

"Masa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PH tidak didaftarkan, jadi tak boleh masuk atas nama PH dan sebab itu masuk bawah PKR.

"Kalau pada PRU15 nanti, kita nak guna PN, maka PN perlu daftar dulu, begitu juga dengan MN," katanya.

Beliau berkata, perkara berkenaan perlu dibincangkan dalam jawatankuasa bersama sama ada untuk didaftarkan PN atau MN.

"Sebelum ini, Pas menjadi penaja ke arah pendaftaran PN, namun selepas Muhyiddin menyatakan kesudian untuk menyertai MN perkara ini akan dibincangkan secara lebih terperinci," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 12:37 PM