TAKIYUDDIN ketika ditemui media. FOTO Abdul Rahemang Taiming
TAKIYUDDIN ketika ditemui media. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berharap tidak akan berlaku pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September ini yang menurutnya jelas akan merugikan parti.

Menurutnya, PAS dalam konteks negeri Sabah walaupun belum pernah memenangi sebarang kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) mahupun Pilihan Raya Kecil (PRK) namun strategi yang jitu perlu dirancang bagi memastikan kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada PRN kali ini dapat dicapai.

Berliau berkata, samada PAS akan bertanding di satu-satu kawasan pada PRN kali ini, arahan pimpinan tertinggi parti mesti bersedia bergandingan bahu atas dasar Muafakat Nasional (MN).

"Kalau kita tidak bertanding 'kawan' kita akan bertanding, dan sebaliknya jika tempat yang kita bertanding, kawan kita pula akan membantu dan inilah dasar muafakat yang kita terapkan.

"Ini bukan sesuatu yang pelik, kerana dalam politik perlu strategi serta perancangan dan kesempatan ini tidak boleh dilepaskan.

"Politik adalah peluang dan jika kemenangan sudah ada di depan mata kenapa perlu dilepaskan," katanya dalam ucapan pada Majlis Makan Malam Perdana di sini, malam tadi.

Pada sidang media selepas itu, beliau menjelaskan PAS sebagai sebuah parti yang sudah bertapak lama di Sabah tidak ketinggalan mengambil bahagian di dalam pilihan raya sama ada di peringkat Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Untuk PRN kali ini, kita juga akan bertanding di beberapa bahagian namun jumlah kerusi atau kawasan yang ditandingi belum dimuktamadkan kerana masih di peringkat perundingan akhir antara rakan sekutu dalam Perikatan Nasional (PN).

"Apa yang penting PN atas dasar Muafakat Nasional akan memastikan tidak berlakunya pertembungan tiga penjuru yang jelas akan merugikan parti," katanya.

Pada Majlis itu beliau turut menyampaikan sumbangan kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Nurul Hannani yang musnah dalam kebakaran pada 26 Ogos lalu.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 11:52 AM