MUHYIDDIN ketika pada Majlis Ramah Mesra bersama Penduduk Setempat di  PPR Taman Sri Keramat, Putatan. FOTO Aswadi Alias.
MUHYIDDIN ketika pada Majlis Ramah Mesra bersama Penduduk Setempat di PPR Taman Sri Keramat, Putatan. FOTO Aswadi Alias.
BERNAMA

Tamparuli: Parti Bersatu Sabah (PBS) terpikat dengan pendekatan kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang prihatin dan sentiasa menjaga kebajikan rakyat.

Setiausaha Agungnya, Datuk Jahid Jahim berkata, dalam suasana negara sedang bergelut menangani pandemik Covid-19, tidak ada pihak terlepas daripada perhatian Muhyiddin dan dilihat begitu bersungguh-sungguh membantu setiap lapisan masyarakat.

"Muhyiddin adalah 'darling of the people' (orang kesayangan rakyat).

"Sebab itu, kita tidak ragu-ragu memberi sokongan kepada beliau apatah lagi dengan wujudnya portfolio baharu dalam Kabinet untuk menjaga hal ehwal Sabah dan Sarawak terutamanya membabitkan Perjanjian Malaysia (MA63)," katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Jahid, yang juga calon Dewan Undangan Negeri (Dun) Tamparuli berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Muhyiddin semalam yang mengatakan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan PBS di Sabah kini dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah.

Pengumuman itu dibuat Muhyiddin, selaku pengerusi PN, dalam ucapannya semasa bertemu calon PN bagi kerusi Dun Sulaman, yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Hajiji Noor di Pejabat Perhubungan Bersatu di Tuaran semalam.

Jahid, selaku penyandang kerusi Dun Tamparuli, berkata gabungan berkenaan memperlihatkan kesamaan dalam parti dalam erti kata setaraf dalam semua perkara.

Semalam, Muhyiddin meluangkan masa hampir sejam di pekan Tuaran untuk bertemu dan beramah mesra dengan peniaga di Pasar Ikan dan Pasar Am di pekan itu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini, Jahid menghadapi pertandingan empat penjuru membabitkan calon Parti Cinta Sabah (PCS) Denis George Kian Fah, Datuk Alijus @ Mohd Ali Sipil (PKR) dan calon Parti Liberal Demokratik (LDP) Dr Raymond Alfred @ Jenry.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 11:46 AM