TINJAUAN norma baharu pematuhan SOP oleh orang ramai di dalam Pasar Besar Jalan Othman PJ.  FOTO ROHANIS SHUKRI
TINJAUAN norma baharu pematuhan SOP oleh orang ramai di dalam Pasar Besar Jalan Othman PJ. FOTO ROHANIS SHUKRI
Muhaamad Hafis Nawawi


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan 178 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lapan direman manakala 169 lagi dikenakan kompaun dan seorang dijamin.

Katanya, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM membuat

62,126 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menurutnya, sebanyak 3,277 pasukan pematuhan yang membabitkan 14,026 anggota membuat pemantauan di 3,945 pasar raya, 5,891 restoran serta 1,521 penjaja, 125 kilang, 3,580 bank dan 694 pejabat kerajaan.

"Sebanyak 1,138 terminal pengangkutan darat, 212 terminal pengangkutan air serta 99 terminal pengangkutan udara telah dipantau oleh Task Force Operasi Pematuhan.

"Menerusi Operasi Benteng pula PDRM membuat 65 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 26,794 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, PDRM berjaya menangkap seorang warganegara asing kerana kesalahan imigresen.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 3:03 PM