Ismail Sabri Yaakob. FOTO BERNAMA
Ismail Sabri Yaakob. FOTO BERNAMA
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan 140 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 32 individu direman manakala 108 lagi dikenakan kompaun kerana terbabit dalam aktiviti kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal.

"Sebanyak 62,530 pemeriksaan dilakukan Pasukan Khas Operasi Pematuhan, semalam bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Pemantauan dilakukan di 4,280 pasar raya, 6,008 restoran serta 1,819 penjaja, 1,331 kilang, 3,871 bank dan 854 pejabat kerajaan.

"Selain itu, 1,316 terminal pengangkutan darat, 270 terminal pengangkutan air serta 91 terminal pengangkutan udara turut dipantau oleh Pasukan Khas Operasi Pematuhan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagi Operasi Benteng pula, Ismail Sabri berkata, PDRM sudah melakukan 63 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara.

"Menerusi sekatan jalan raya itu, sebanyak 20,178 kenderaan diperiksa bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) terutama di lorong tikus.

"PDRM juga berjaya menahan dua warga asing kerana kesalahan imigresen," katanya.

Katanya, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

"Agensi-agensi penguat kuasa akan terus memperketatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 5:03 PM