ANTARA kesalahan ingkar arahan PKP dilakukan adalah tidak memakai sarung tangan ketika menggunting rambut pelanggan. FOTO Arkib NSTP
ANTARA kesalahan ingkar arahan PKP dilakukan adalah tidak memakai sarung tangan ketika menggunting rambut pelanggan. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin

SERAMAI 129 individu ditahan Polis Diraja Malaysia kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 20 individu direman, manakala 109 lagi dikenakan kompaun.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP dilakukan adalah aktiviti dalam pub atau kelab malam, gagal menyediakan peralatan bagi catitan keluar dan masuk serta tidak memakai sarung tangan ketika menggunting rambut pelanggan.

"Selain itu, ada juga didapati tidak memakai pelitup muka serta aktiviti membabitkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 64,058 pemeriksaan dilakukan bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.

"Pemantauan dilakukan di 3,900 pasar raya, 5,283 restoran, 1,681 penjaja, 1,523 kilang, 3,568 bank dan 1,095 pejabat kerajaan.

"Sebanyak 1,230 terminal pengangkutan darat, 235 terminal pengangkutan air serta 114 terminal pengangkutan udara turut dipantau," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, PDRM melakukan 66 sekatan jalan raya menerusi Operasi Benteng di seluruh negara, semalam.

"Dalam operasi itu, kami memeriksa 25,368 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) terutama di lorong-lorong tikus.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PDRM melakukan 914 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di kediaman masing-masing, semalam.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, semua individu yang dikuarantin didapati mematuhi SOP yang ditetapkan. PDRM bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu terbabit bagi memastikan SOP dipatuhi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 4:29 PM