Tertuduh, Noor Aini Mohammad, 35, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Marang hari ini atas pertuduhan mengugut mahu mencederakan jirannya menggunakan sebilah parang. FOTO GHAZALI KORI
Tertuduh, Noor Aini Mohammad, 35, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Marang hari ini atas pertuduhan mengugut mahu mencederakan jirannya menggunakan sebilah parang. FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply


SURI rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Marang hari ini atas pertuduhan mengugut mahu mencederakan jirannya menggunakan sebilah parang.

Tertuduh, Noor Aini Mohammad, 35, dari Bukit Payong, di sini membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengugut jirannya, Azizah Adib Rahim, 25, dengan memegang sebilah parang sambil mengeluarkan kata-kata "mu mari keluar, aku nak pukul mu."

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Taman Sri Payong, Kampung Padang Mengkuang, Bukit Payong, Marang, jam 6.45 petang pada 13 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 6 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Othman Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 2:42 PM